Rajin Bergaul Dengan Pakcik-Pakcik Surau Jadi Rujukan Hun Haqeem Jayakan Watak Imam

Share

Selepas Kampung People, pelakon Hun Haqeeem kembali menjayakan watak komedi menerusi drama Imam Instant Ustazah Scammer yang kini semakin mendapat tempat di hati penonton drama tempatan.

Membawakan watak Imam Asyraf, Hun atau nama sebenar, Haqeem Hermy, 25, berkata dia mengambil rujukan dengan mendekati jemaah masjid bagi merealisasikan karakter tersebut.

Malah, dia turut berkongsi pengalamannya sebagai tukang bancuh air di masjid yang mana kebanyakan jemaah adalah pakcik-pakcik yang menyukai air hasil tangannya.

“Untuk watak Imam Asyraf, saya ada buat rujukan dengan pakcik-pakcik jemaah masjid dan dari situ saya tengok cari pembawakan diri mereka.

“Dulu pun saya pernah jadi budak bancuh air sampai digelar budak teh o. Masa bulan Ramadan, saya buatkan teh o untuk jemaah solat tarawih. Cuma saya tak boleh bancuh manis sangat sebab ramai orang tua yang minum kan,” katanya sambil berseloroh teringatkan kenangan sebagai budak bancuh air.

Berkongsi mengenai keserasiannya dengan Mira Filzah, Hun berkata ia adalah satu pengalaman kerja yang menyeronokkan.

“Sangat best kerja dengan Mira, sebelum ini pun kami dah pernah bekerjasama dalam muzik video Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Memang kami ada keserasian dan vibe kerja yang fun terus membuatkan kami klik sekali gus dapat berikan lagi jiwa dalam drama bergenre komedi ini,” katanya lagi.

Imam Instant Ustazah Scammer yang diarahkan Hadith Omar ini turut dibintangi Mierul Aiman, Qasrina Karim, Azza Elite, Yasmin Hani dan Yassin Senario.

Ia bersiaran setiap Ahad jam 9 malam di saluran Astro Ria (104).

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Juliana Johar