MBH Medispa, Wawa Kosmetik dan Wildan Susu Kambing, lagu jingle yang cukup mesra pada halwa telinga, siapa sangka pemilik suara di sebalik lagu siulan ramai itu milik Eleena Harris.
Suaranya sering berkumandang mendendangkan lagu runut bunyi dan jingle produk, wanita berusia 23 tahun ini mendedahkan sehingga kini sudah hampir 20 lagu jingle dinyanyikan olehnya.
Malah dia berbangga sehingga kini punya lebih 100,000 pengikut di Instagram gara-gara lagu jingle.
“Tidak kisah orang mengenali saya kerana lagu jingle dan ia hanya sekadar sambilan. Namun tidak dinafikan memang menerusi lagu begitu orang mula nampak bakat saya.
“Mungkin ini trend baru yang peminat suka,”katanya.
Bintang ini terdahulu ditemui pada majlis prapelancaran YES (Year End Sale) I Suka MBH di MBH Medispa cawangan Subang di Jalan USJ 10/1, Subang Jaya, baru-baru ini.
Mengagumkan, bekas pelajar UITM Shah Alam dalam bidang perakaunan ini sedang mengambil Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan bakal bergelar Akauntan Bertauliah.
Melakukan kerjaya akauntan sebagai sambilan, penyanyi ini menegaskan mampu melakukan kedua-duanya serentak atas sebab minat yang mendalam.
Mengakui perjalanan kerjaya berjalan agak perlahan, namun dia tidak mahu melakukan kontroversi atau provokasi semata-mata cepat dikenali.
“Pandangan peribadi, saya tidak mahu viral dan terkenal kerana perkara negatif. Saya mahu slow and steady.
“Kalau tidak memang senang jika menggunakan perkara viral.
“Ada perancangan untuk lebih agresif mencipta nama namun buat masa ini, saya just follow with the flow,” jelasnya yang kini sudah lima tahun dalam industri muzik.
Dalam perkembangan lain, Eleena kini menyanyikan lagu rasmi MBH Medispa iaitu I Pergi MBH ciptaan DJ Fuzz.