Categories: Berita

Rakam Video Saat Anak Dilahirkan, Aeril Zafrel Teruja Dapat Potong Tali Pusat Ayya Soffya

Share

Berkongsi momen indah pada 1 Disember lalu, pelakon Aeril Zafrel memuat naik sepotong video yang memaparkan anak ketiganya, Ayya Soffya selamat dilahirkan di Pusat Perubatan Andorra Wanita & Kanak-Kanak, Shah Alam.

Memanjatkan rasa syukur, bintang filem 7ujuh itu gembira kerana sentiasa diberi peluang untuk menemani isterinya, Wawa Zainal di wad bersalin sepanjang ketiga-tiga kelahiran anaknya.

Namun, berbeza dengan kelahiran cahaya mata ketiga ini, Aeril diberi peluang memotong sendiri tali pusat anaknya itu.

"Alhamdulillah.. sepanjang wawa bersalin ketiga-tiga anak kami, saya sentiasa ada disisi memberi kekuatan pada dia. Tapi istimewanya kali ni.

"Sy diberi peluang utk potong tali pusat baby," tulisnya sambil disertakan video saat kelahiran Ayya.

Sehingga kini video tersebut telah mendapat hampir 100,000 tontonan selepas dimuat naik Aeril beberapa minit lalu.

Anak ketiga pasangan itu diberi nama Ayya Soffya bersempena nama Masjid Biru di Istanbul, Turki.

Malah, Ayya kini memiliki lebih 50,000 pengikut di Instagram selepas Aeril mencipta akaun tersebut beberapa hari lalu.

Sebelum ini, Wawa dan Aeril sudah dikurniakan dua anak iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 6, dan Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 4.

Pasangan selebriti ini mendirikan rumah tangga sekitar tahun 2012 lalu.

Video: Instagram Aeril Zafriel

Published by
SITI AMINUR AKMAL