“All the best di tempat baru… dekat je kalau nak singgah breakfast dengan kami.”
Itu komen ringkas yang ditinggalkan penyampai radio Suria FM, Suraya Borhan terhadap foto yang dikongsikan rakan sekerjanya, Fizi Ali di laman Instagram miliknya.
Komen Suraya dikatakan seolah-olah memberikan bayangan Fizi bakal meninggalkan stesen radio tersebut dan memulakan khidmatnya di tempat yang baharu.
Terdahulu, Fizi memuat naik gambar bersama Suraya dan Ajak yang menjadi rakan gandingannya dalam Team Pagi Suria beserta kapsyen, “Kalian bukan sahabat aku, tapi keluarga aku. Terima kasih kalian berdua.”
Selain Suraya, seorang lagi penyampai Suria, Feeya Iskandar atau Cik Piah yang mengendalikan segmen Gaya Suria turut menitipkan komen agar Fizi tidak akan melupakan mereka.
“Fizi Ali, jangan lupakan kami,” tulis Cik Piah.
Sementara itu, bekas penyampai Suria yang kini bersiaran di stesen radio Gegar FM, Issey Fazlisham turut tidak ketinggalan mengucapkan maju jaya untuk langkah seterusnya buat Fizi.
“Fizi, kau best. Aku suka gila kerja dengan kau. Kau baik. Kau rajin.
“Apa pun kau buat lepas ni, aku tetap sokong kau. Terbang lebih tinggi. Aku tahu kau boleh terbang tinggi,” tulis Issey.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, Fizi telah disunting stesen radio yang lain dan pengumuman tersebut akan dibuat dalam masa terdekat.
Untuk rekod, Fizi atau nama sebenarnya, Mohd Hafizudin Alimudin, 33, mula bersiaran dengan Suria FM pada Julai 2016. Ketika itu, dia digandingkan bersama Zulin Aziz dan Halim Othman menerusi segmen Ceria Pagi Suria.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Fizi Ali