Di kala pandemik Covid-19 melanda dunia, setiap negara memiliki cara tersendiri untuk membendung penularan virus tersebut. Salah satunya adalah dengan menutup sempadan dan juga mengenakan proses kuarantin yang ketat.
Baru-baru ini satu kontroversi telah tercetus di Hong Kong apabila pelakon Hollywood terkenal, Nicole Kidman, yang tiba di negara itu tidak menjalani proses kuarantin wajib 21 hari yang ditetapkan kerana selepas dua hari, dia sudah dilihat berada di kawasan terbuka.
Keberadaannya di sana adalah untuk menjalani penggambaran projek terbaharu yang merupakan sebuah rancangan mengenai bekas ekspatriat kaya, glamor dan mewah. Rancangan tersebut bakal disiarkan di saluran atas talian Amazon Prime.
Dalam laporan BBC News, perkara ini menimbulkan kekecohan dalam kalangan warga Hong Kong dan China dengan masing-masing cukup lantang mengkritik kelebihan yang diterima pemenang anugerah Academy itu.
Salah seorang pengguna Twitter dengan nama @WhovianBooknerd memuat naik ciapan berbunyi, “Jadi kita ada residen HK yang tidak boleh kembali kerana belum mendapat vaksinasi (dan kalau sudah mereka perlu jalani kuarantin selamadua ke tiga minggu) tetapi Nicole Kidman boleh masuk sebegini? Perkara ini menjijikkan.”
Walaupun begitu, menurut laporan NPR, Nicole sebenarnya sudah menerima kebenaran istimewa dan pengecualian dari kerajaan Hong Kong atas dasar menjalankan kerja rasmi yang sudah ditetapkan dan perkara itu penting untuk memastikan perkembangan ekonomi Hong Kong.
Perkara ini tidak disetujui banyak pihak termasuklah penggubal undang-undang.Priscilla Leung berkata, “Kes pengecualian kuarantin Nicole Kidman ini bukanlah mengenai politik, tetapi perkara ini melibatkan isu keselamatan kesihatan dan ia juga berkait dengan isu ketidakadilan.”
Isu seperti ini bukanlah isu yang boleh dipandang enteng. Soal kesihatan dan juga penularan virus seharusnya dikawal dengan rapi. Hal yang terjadi kepada Nicole ini juga menampakkan ketidakadilan kepada warga Hong Kong sendiri. Namun seperti yang sudah dijawab oleh pihak kerajaan, demi perkembangan ekonomi.
Sumber gambar: Instagram Nicole Kidman