Hiburan

“Ramai Bandingkan ‘Andai Tiada Dia’ Dengan Filem Indonesia…,” – Hisyam Hamid Tolak Berlakon Adegan Panas

Share

Pelakon Hisyam Hamid, tetap teguh dengan pendiriannya untuk tidak melakonkan babak-babak panas dalam setiap naskah yang dibintanginya.

Menerusi drama terbaharu yang berjudul Marina, Hisyam yang membawakan watak sebagai ‘bapa ayam’ memaklumkan dia sudah pun berbincang dengan pihak produksi
tentang batas-batasnya sebagai seorang pelakon.

“Jika mengikut skrip asal, drama tersebut mempunyai banyak adegan-adegan panas. Secara peribadi, saya ada meletakkan batas sejauh mana saya boleh pergi.

“Ada babak yang perlu memakai seluar pendek dan buka baju. Jadi, bila berbincang dengan pengarah, dia pun faham bahawa kita tidak perlu melakon babak yang keterlaluan.

“Malah, saya juga sudah maklumkan kepada pihak produksi, jika mereka mahu teruskan juga babak-babak panas ini, saya bukanlah orang yang sesuai. Lebih baik ambil orang lain,” katanya kepada MH.

Pelakon asal Singapura itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pelancaran pakej terbaharu Astro One, baru-baru ini.

Jelas Hisyam lagi, segala babak-babak daring yang dipaparkan di dalam drama tersebut telah dijayakan dengan menggunakan helah kamera sahaja.

“Pengajarah juga bersetuju. Kita hanya akan bermain dengan kamera trick sahaja. Jadi, saya tak perlu buka baju. Saya amat menitik beratkan hal seperti ini.

“Ambil contoh drama Andai Tiada Dia, ramai yang membandingkan dengan filem Indonesia yang babak-babaknya lebih daring dan buat penonton terbeliak mata.

“Namun, saya merasakan kita tak perlu buat babak-babak sebegitu tapi impaknya tetap sampai. Hal ini sudah pun terbukti melainkan itu yang anda mahu jual kepada penonton.

“Jika babak panas menjadi selling point, pada saya ia bukan naskah yang baik. Cerita yang bagus tidak memerlukan babak keterlaluan. Naskah itu akan menonjol dengan sendirinya. Namun, ia tetap bergantung kepada barisan pelakon dalam sesebuah drama,” katanya lagi.

Pada masa sama, Hisyam akui bersyukur kerana pihak produksi masa kini amat menghormati hak-hak pelakon.

“Dalam 10 atau 11 tahun yang lalu, saya masih baharu. Pengarah cakap apapun, kita ikut sahaja. Mungkin pada masa itu kita takut. Namun ketika ini, kita lebih faham dan tahu hak sebagai pelakon.

“Malah, kebanyakkan pihak produksi juga faham dengan batas-batas yang kita letakkan. Kalau tak perlu, saya tak akan lakukan,” ujarnya.

Malah, Hisyam juga memaklumkan dirinya ingin menjadi contoh yang terbaik buat anak-anak.

“Apa yang saya buat ini bukanlah untuk menunjukkan diri ini baik kepada masyarakat. Namun, ia lebih kepada menjadi contoh yang baik buat anak-anak.

“Saya ingin menunjukkan contoh yang baik kepada mereka. Mereka adalah orang pertama yang akan tahu dan lihat perkembangan saya,” akhirinya.

Selain Hisyam, drama Marina ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Sophia Albarakbah, Remy Ishak dan Muhsin Nadzli.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf