“Ramai Bertanya, Banyak Juga Kata Mencuit Hati Saya,” – Persalinan Di AJL35 Istimewa, Ernie Zakri Beri Penghormatan Buat Allahyarhamah Nenek

Share

Penyanyi Ernie Zakri yang baru sahaja dinobatkan sebagai penerima trofi bagi kategori Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) menzahirkan rasa syukur atas kemenangan yang diterimanya, malam Ahad.

Dia pada masa sama turut mendedahkan maksud tersirat mengenai persalinan yang dikenakan ketika membuat persembahan menerusi lagu Ciptaan Sharon Paul dan dirinya sendiri itu selain menitipkan ucapan buat skuad cantiknya di AJL35.

“Syukur alhamdulillah, segala pujian bagi Allah SWT. MasyaAllah, malam semalam adalah malam yang tidak saya jangkakan. Namun, rezeki Allah SWT itu tiba semalam. Alhamdulillah.

“Ramai yang bertanya tentang baju ini. Banyak yang sebut sebut, banyak juga kata kata mencuit hati saya. Ya, baju ini saya “pay homage” to Allahyarhamah Rokayah binti Abdullah, nenek saya.

“Berasal dari Melaka, gemar memakai kebaya, bercinta dengan atok awal tahun 50-an. Tentu ada sebab dan kisah disebalik baju baju yang saya peragakan. Banyak cerita yang saya sampaikan pada @amaze_official_, dan sekali lagi mereka berjaya menyampaikan “jiwa” lagu ini. Nak baca kisah indah, tengok IG Amazè ya.

“Make up saya semestinya dari @sahirsabri dan my hijab stylist @nazlivingastyle . THANK YOU BEAUTY TEAM,” tulisnya.

Sementara itu, Ernie turut menjelaskan masih banyak yang perlu dipelajarinya dalam nyanyian selain turut memberikan ucapan terima kasih buat semua terlibat, termasuk paea peminat.

“Terima kasih @tv3malaysia , my sister @sharonpaul_msia , @rocketfuelent team yang sentiasa berada bersama saya, my manager @aqilahmaria_ , keluarga saya yang memberi kekuatan, dan @syamel_official yang memberi dorongan untuk saya mempersembahkan apa yang anda lihat semalam. @aubrey_suwito dan semua para musicians, terima kasih tidak terhingga.

“Sejujurnya, saya masih harus banyak belajar. Terlalu banyak. Kemenangan rakan rakan menjadi inspirasi saya untuk menjadi lebih baik. Terima kasih buat doa doa semua. Doa anda lah sumber kekuatan saya.

“Maaf jika ada kekurangan, terima kasih atas segala pujian. Tahniah buat semua finalis! Anda memang HEBAT! #AJL35,” tulisnya lagi.

Dengan kemenangan tersebut, Ernie membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM12,000 beserta trofi.

Terdahulu, Gila yang dinyanyikan oleh Kaka Azraff, Noki dan Loca B ciptaan mereka bersama Ezra Kong diumumkan juara utama AJL35 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Auditorium Majlis Bandar Raya Shah Alam (MBSA), Shah Alam itu.

Mereka memenangi trofi dan wang tunai berjumlah RM50,000.

Naib juara AJL35 menjadi milik lagu Semalam daripada Aina Abdul, ciptaan sepenuhnya oleh penyanyi berkenaan yang sekali gus membawa pulang wang tunai RM35,000 beserta trofi kemenangan.

Menduduki tempat ketiga ialah lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong, Belenggu Rindu. Lagu tersebut disampaikan Datuk Jamal Abdillah dan Wany Hasrita.

Kemenangan tersebut melayakkan mereka memenangi trofi bersama wang tunai RM20,000.

Sementara kategori persembahan terbaik hasil undian penonton yang menawarkan ganjaran trofi dan wang tunai RM10,000 beserta baucer setahun McDonald’s pula disandang Zizi Kirana menerusi lagu Eh.

Foto: Instagram Ernie Zakri, TV3 Malaysia

Published by
MH