Tarikh perkahwinan pasangan selebriti, Kamal Adli dan Uqasha Senrose menjadi perhatian apabila terbaru, ada peminat yang mulai meneka mereka bakal disatukan pada 21 Oktober depan.
Spekulasi itu mulai timbul selepas kad welcome board (papan ucapan selamat datang) majlis pernikahan mereka tersebar dalam laman sosial TikTok sejak semalam lalu tular.
Terdahulu, Uqasha yang tampil serba putih pada sesi makan malam sebagai meraikan majlis bridal shower dan bachelorette party baru-baru ini menguatkan lagi andaian dia bakal bergelar isteri kepada juara Hero Remaja 2007/08 itu.
Kamal menerusi Instgaram turut memuat naik foto Uqasha selain menitipkan doa semoga semua urusan dipermudahkan.
Sementara itu dalam video yang dikongsikan pemilik akaun @kadgalericinta tersebut, terpapar nama Kamal dan Uqasha bersama tarikh Oktober 21. Namun, tarikh sebenar majlis tidak pula disertakan.
Lalu, pelbagai komen ditinggalkan peminat memandangkan tarikh 21 Oktober hanya dalam tempoh beberapa hari dari sekarang.
Tidak kurang yang turut mengandaikan bahaqa angka 21 itu sebenarnya merujuk kepada tahun 2021.
Sehingga kini, keduanya belum mengesahkan kesahihan mengenai perkara berkenaan.