Pendatang baharu, Rayme Zainal mendedahkan dia terharu andai ada yang menyamakan dirinya mirip kepada selebriti, Roslan Shah, seperti mana yang terpapar menerusi video tular di Twitter baru-baru ini.
Menerusi video kurang seminit itu, Rayme, 44, yang berada di sebuah kafe tiba-tiba didatangi individu yang pada awalnya menyangka dia ialah Roslan Shah.
“Memang ada viral di media sosial dan selalu orang tegur muka seiras saya Roslan dari dulu lagi dan ada juga yang kata seiras pelakon, Cico Harahap.
“Namun saya tiada apa-apa kaitan dengan mereka malah tidak mengenali Roslan juga secara peribadi tetapi pernah berjumpa di program-program umum.
“Bagi saya, Roslan sangat bagus sebagai pengacara dan pandai juga menyanyi. Beliau sangat menghiburkan sebagai pengacara dan juga versatil sebagai selebriti serba boleh,” katanya.
Dia pada masa sama menjelaskan, biar pun seringkali disamakan dengan Roslan, dia sesekali tidak menggunakan kelebihan itu sebagai ruang untuk menumpang populariti mana-mana artis.
Malah menerusi video yang kini mencecah hampir 150,000 tontonan itu, dia turut digelar lelaki aneh gara-gara gemar menyanyi secara terbuka menggunakan fon telinga dengan suara kuat di premis awam sekaligus menerima reaksi pelbagai netizen.
Pemilik nama lengkap Rayme Zainal Abidin menambah, dia memilih untuk tidak membaca komen-komen negatif, apatah lagi bila dituduh sengaja menumpang populariti mana-mana artis untuk dikenali dan menarik pengikut media sosial.
“Kadang-kadang tertekan juga, tapi saya tidak baca dan ambil pusing komen-komen mereka. Saya anggap itu salah satu perkara yang perlu saya hadapi untuk berada dalam industri.
“Saya yakin lama-kelamaan orang akan biasa dan tidak akan bercakap tentang itu lagi,” ujarnya yang pernah mengeluarkan single Tiada Lagi Esok pada 2020 dan Andai pada Mei lalu.
Sementara itu, Rayme akan mengeluarkan single keempat, Close to You pada bulan depan dan merancang untuk mengeluarkan EP pada tahun 2023.
“Saya sudah lama minat dalam bidang nyanyian ini dan sanggup memasuki kelas vokal bersama beberapa guru vokal selebriti iaitu Cikgu Shafi, Cikgu Sarah Ismail dan Cikgu Aruel Ariel sejak tahun 2017 sehingga hari ini.
“Namun hehadiran sebagai penyanyi bukan untuk bersaing, tetapi lebih kepada berkongsi minat dan bakat dalam bidang nyanyian.
“Berharap agar nyanyian dan lagu-lagu ciptaan sendiri diterima pendengar dan semoga mendapat tempat di industri hiburan tanahair,” katanya lagi.
Sebagai rekod, Rayme pernah menjadi juara di pertandingan atas talian anjuran Sajakiri Musicdab dan menyertai program musim pertama All Together Now Malaysia.
Pada April lalu, dia yang memiliki bakat sebagai komposer turut mengeluarkan single ketiga sempena Aidilfiti yang bertajuk Rindu Di Hari Raya
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini