“Ramai Macam Tak Percaya Saya Sakit Ataupun Kata Saya Tipu,” – Ada Persoal Tahap Kesihatan, Elyana Menitis Airmata Kongsi Cerita

Share

Satu temubual eksklusif menerusi rancangan bual bicara Malaysia Hari Ini di saluran TV3, penyanyi dan pelakon Elyana ada berkongsi cerita mengenai perkembangan dirinya yang menghidap penyakit kanser limfoma.

Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal yang telah menghidap penyakit tersebut hampir 10 tahun mengakui adakalanya netizen tidak mempercayai tahap kesihatan dirinya yang semakin serius.

Penyanyi lagu Kalis Rindu ini berkata dia tidak mahu menunjukkan rasa kesedihan dan kesakitan yang dilalui oleh dirinya kepada orang ramai.

Jelas Elyana, tindakan sedemikian boleh memberikan kesan buruk terhadap tahap kesihatan dirinya.

“Terus terang saya kata di depan kamera saya akan begini dan saya akan nampak okey. Saya tak akan tunjuk yang saya sakit sekalipun sampai bila-bila. Saya minta maaf sangat-sangat sebab saya tahu ramai juga yang macam tak percaya saya sakit ataupun kata saya tipu sakit,

“Saya tak akan tipu sakit sebab pada saya sakit ni bukan benda main-main. Manusia kan selagi tak nampak depan mata selagi itu mereka tidak akan percaya,

“Saya minta maaf, saya memang tak akan tunjuk yang saya sakit depan kamera sebab saya seorang penghibur, tugas saya adalah untuk menghiburkan orang. Saya bukan nak orang simpati dengan saya,

“Saya cuma nak doa orang di luar sana untuk diri saya. Tapi di belakang kamera saya sebenarnya sakit sangat dan cuba berjuang untuk sakit ni macam pesakit kanser yang lain juga, saya sakit sepanjang masa sebab tahap sakit saya bukan yang rendah lagi,

“Kini saya berada di tahap yang agak kritikal tapi saya cuba untuk teruskan hidup dengan kehidupan yang positif. Saya tak nak fikir yang saya sakit sebab benda itu akan menyakitkan saya lagi jadi saya hidup macam biasa, positifkan diri,” luah Elyana.

Video: YouTube TV3Malaysia

Published by
Nazar Rafiqhi