Biar masih menyayangi dunia seni, penyanyi dan pelakon era lewat 90–an, Erna Elliyana bagaimanapun mendedahkan dirinya belum bersedia untuk kembali aktif.
Menurut Erna, meski terima banyak permintaan daripada perminat untuk melihatnya menyanyi dan berlakon semula, namun dia lebih selesa untuk memberikan sepenuh tumpuan terhadap dunia bisnes.
“Saya memang sayangkan dunia hiburan tetapi saya masih belum tergerak hati untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian dan lakonan. Mungkin kerana kesibukan dalam bisnes.
“Saya mengaku ramai peminat yang menghantarkan mesej dan meminta saya untuk melakukan kemunculan semula dalam bidang seni, tapi buat masa ini, biarlah saya fokus dalam perniagaan terlebih dahulu,” katanya.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Bukan Untuk Sesaat itu akui teruja kerana masih berpeluang menyumbang bakti buat industri seni dengan menaja beberapa siri konsert dan progam muzik.
“Minat saya masih kukuh dalam hiburan ini saya salurkan menerusi tajaan pelbagai program dan festival. Terbaharu, menerusi perniagaan yang diusahakan, kami bakal menaja beberapa siri konsert.
“Dalam masa yang terdekat, menerusi jenama kecantikan Kamya Glow dan restoran Daigor Hong Kong Muslim, kami menaja konsert Andmesh Kamaleng semalam manakala Daigor baru sahaja dibuka turut menaja acara makan malam sempena Meet & Greet bersama bintang Indonesia itu bersama peminat,” katanya lagi.
Erna ditemui di majlis pembukaan restoran berasaskan menu Hong Kong Muslim itu di Jumpa @ Plaza Sungei Wang, Bukit Bintang, baru-baru ini.
Bercerita lebih lanjut mengenai premis makanannya itu, Erna memilih Itik Panggang sebagai antara ‘signature dish istimewa’ yang wajib dicuba pelanggan.
“Menu istimewa yang wajib dicuba ialah Itik Panggang. Susah nak cari Itik Panggang halal, tetapi kami menjadikan ia sebagai tarikan untuk berkunjung ke Daigor. Selain itu, hidangan Cheese Baked Rice dan pelbagai jenis daging, makanan laut, charcoal custard lava bun dan juga air kopi antara keistimewaan yang ditawarkan di sini.
“Kami menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama hampir tujuh bulan untuk mendapatkan rasa yang paling dekat dengan apa yang dijual di Hong Kong,” katanya lagi.
Sekadar info, konsert Andmesh Kamaleng Live in Kuala Lumpur, malam tadi di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ituditaja oleh Kamya Glow iaitu produk kesihatan dan kecantikan dibawah payung AlphaNeyaga Sdn. Bhd, yang juga sebuah syarikat subsidari AlphaCapital (M) Berhad.
Daigor pula merupakan rangkaian perniagaan makanan baharu di bawah jenama K-Town Alpha iaitu syarikat subsidiari Alphacapital yang memiliki variasi cabang perniagaan.
Selain Erna yang bertindak sebagai Lembaga Pengarah AlphaCapital, majlis pembukaan terbabit turut dihadiri oleh pengasas Daigor, Andy Goh, Ketua Pegawai Eksekutif Alphacapital, Syed Mahadzir Fadaak dan Hilal Haizan selaku Lembaga Pengarah.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.