Selebriti popular, Scha Al Yahya menjelaskan perkongsian dekorasi kediamannya di Instagram baru-baru ini sehingga mendapat perhatian ramai adalah sebagai komitmen kerjasama dengan sebuah jenama dekorasi.
Menurut Scha, 40, hantaran tersebut dilakukan atas objektif tersebut dan jauh sekali untuk menunjuk-nunjuk.
“Sebenarnya kami ada bekerjasama dengan sebuah jenama dekorasi terkenal di negara ini dan itu (perkongsian hasil dekor rumah) ialah sebahagian daripada komitmen. Bukan niat nak berkongsi semata-mata.
“Jadi, salah satu komitmennya ialah perlu terpapar di dalam sebuah majalah selain di sosial media. Bukanlah sekadar nak menunjuk-nunjuk,” katanya kepada MH.
Bintang filem Telaga Suriram itu ditemui di program Bual Bicara: Seminar Komunikasi Antarabudaya, di Kolej Ungku Omar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.
Mengulas mengenai dekorasi hasil ilhamnya bersama suami Awal Ashaari, Scha bersyukur dan berterima kasih sekiranya ada yang menyukai ilham kreativiti mereka dalam menguruskan kediaman.
“Saya dan Awal tiada pereka dalaman khusus. Itu kami lalukan daripada hasil titik peluh sendiri bermula daripada lakaran.
“Awal memang mahir berkenan dengan hiasan dalaman. Cuma bila ia melibatkan warna, di situ saya ambil peranan.
“Alhamdulillah sekiranya ada yang memuji. Bagi saya bila sudah minat, kita akan banyak mengkaji dan mungkin dari situlah timbulnya kreativiti.
“Kiranya ia akan lebih memudahkan kerja, yang bukan dipaksa-paksa. Bila minat itu sedia ada disusuli dengan research, itulah hasilnya,” katanya lagi.
Ditanya sejauhmana perancangan untuk mengembangkan minat dalam bidang berkaitan sebagai cabang rezeki baharu, Scha optimis.
“Perancangan itu memang ada. Tidak dinafikan, saya ada terima banyak permintaan di media sosial untuk kami melakukan servis tersebut. Misalnya di kalangan rakan kenalan selebiriti dan sebagainya.
“Cuma bagi saya ia seseuatu yang sangat serius. Bukan saja-saja boleh deko dan sebagainya. Ya mungkin kita ada cita rasa, tapi perlaksanaan itu perlukan masa yang sesuai.
“InsyaAllah pada masa depan, ia memang ada di dalam perancangan saya dan suami untuk sama-sama terlibat di dalam bidang hiasan dalaman seperti ini,” katanya.
Terdahulu pada April lalu bersempena Syawal, Awal turut berkongsi beberapa ruang kediaman mereka yang sekaligus memancing perhatian peminat.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini