Bersempena kehadiran Ramadan tahun ini, Neelofa telah membuka saluran Telegram yang antara lain berkongsi doa harian, tips memahami erti bacaan dalam solat dan perkara-perkara ilmiah.

Dilancarkan sekitar minggu lalu, saluran yang diuruskan sendiri Neelofa itu menjadi medium pengantara untuk berkongsi perkara-perkara berkaitan solat, agama dan motivasi.

Antara perkongsian yang dilakukan termasuklah cara memahami dan mengingat bacaan dalam solat, doa harian dan pelbagai bahan-bahan ilmiah lain seperti ayat al-Quran dan video ceramah agama.

Pengusaha jenama Naelofar itu memberitahu, tujuan saluran Telegram tersebut diwujudkan atas dasar suasana sambutan Ramadan pada tahun ini yang sangat istimewa berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Tahun ini, kita menyambut Ramadan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kebanyakan daripada kita tidak dibenarkan untuk keluar daripada kediaman masing-masing. Justeru, kita manfaatkan masa yang ada dengan perkara berfaedah.

“Jika dahulu kita tidak sempat, sekarang alhamdulillah dan ini antara keindahan Ramadan pada kali ini,” katanya.

IKLAN

Sudah pun mempunyai 71 ribu orang yang menyertai, saluran Telegram berkenaan dianggap sekadar ruang baginya untuk berkongsi ilmu.

“Selama ini ramai yang bertanya kepada saya, apakah doa yang saya amalkan sehari-hari dan surah apakah yang menjadi kegemaran.

“Saya cuba berkongsi di Instagram Stories, tetapi disebabkan limitasi durasi, perkongsian menjadi terbatas. Kalau terlalu banyak yang dikongsi, takut orang jemu dan tak baca (skip).

IKLAN

“Jadi dengan saluran Telegram ini, saya lebih bebas untuk berkongsi apa sahaja yang bermanfaat, asalkan tidak meyimpang. Saya harap, perkongsian ini dapat dimanfaatkan pada keadaan sukar seperti sekarang,” jelasnya

Sementara itu, menerusi temu bual ringkas yang dijalankan dalam kalangan pengikut saluran berkenaan, rata-rata menyambut baik dengan inisiatif figura asal Kelantan terbabit.

“Saya rasakan saluran ini sangat bagus kerana ramai dapat mengikuti apa yang Neelofa lakukan sehari-harian dan dapat menambah ilmu yang kadang-kadang kita sendiri terlepas pandang,” ujar salah seorang pelanggan saluran berkenaan.

IKLAN

Dalam pada itu, ada juga yang berpendapat perkongsian Neelofa di Telegram sebagai satu hal yang dapat mendekatkan lagi usahawan itu dengan peminatnya.

“Saya rasa sangat bertuah kerana menjadi yang pertama menerima kemas kini daripada beliau.

Saya rasa inisiatif ini sangat bagus kerana tiada artis lain yang mengelolakan saluran Telegram seperti ini,” ujar salah seorang peminatnya pula.

Saluran Telegram boleh diakses secara percuma dengan mencari kata kunci Neelofa di ruangan carian. 

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI