Juri tetap Gegar Vaganza 8 (GV8), Datuk Ramli MS menyifatkan tiadanya keserasian duet di antara Upiak Isil dan Usop menjadi antara punca bintang Indonesia itu tersingkir daripada saingan di konsert minggu keenam, pada Ahad.
Maestro muzik itu turut menambah, Upiak turut melakukan beberapa kesilapan lain hingga menjejaskan prestasi persembahannya di mata juri.
“Dia (Upiak) mendapat markah yang paling rendah, betul. Salah satunya adalah disebabkan oleh keserasian mereka berdua itu (duet bersama Usop) seolah-olah macam dia menyanyi sendiri.
“‘Chesmistry’ itu tidak ada dia sendiri sangat ‘goyang’ dari segi notasinya. Jadi juri bersepakat memberikan markah yang paling rendah,” katanya.
Malam tadi, Upiak dan Usop yang menyanyikan lagu Sembunyi yang pernah dipopularkan oleh Andy Flop Poppy dan Misha Omar memperolehi markah sebanyak 56.40 peratus, berbeza hanya 0.10 peratus di belakang Bandi Amuk (56.30 peratus).
“Ya… untuk juri 0.1 peratus, malah pihak produksi pun bersetuju daripada segi markah. Bagi saya yang penting siapa yang berada paling bawah harus keluar,” katanya lagi.
Ditanya apakah elemen yang ditekankan para juri menerusi tema ‘Langkah Seiringan’ itu, Ramli mengakui keserasian dan saling bekerjasama dalam lagu menjadi kriteria utama.
“Kita melihat kepada keserasian dalam mempersembahkan lagu duet. Kerjasama serta kreativiti dalam lagu selain kurang membuat kesilapan.
“Setiap peserta ada 80 dan artis jemputan, 20 markah. Jarang kita melihat artis jemputan itu membuat kesilapan berbanding mereka yang sedang bertanding. Secara tak langsung, keserasian pun akan kurang di situ,” katanya.
Terdahulu, Suki Low menduduki tempat pertama dalam konsert yang bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu dengan 83.70 peratus.
Sementara Aliff Aziz bersama Iman Troy menerusi lagu Belenggu Rindu pula berjaya mendapat 76.20 peratus dan 71.90 peratus pula diraih Adibah Noor di samping rakan duet, Ali Sariah daripada kumpulan Masdo.
Kesemua peserta diadili Datuk Ramli MS bersama Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz dan minggu ini, Jennifer Thompson diundang sebagai juri jemputan.
Juara membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 beserta trofi manakala RM50,000 untuk naib juara RM30,000 tempat ketiga.
Untuk rekod, musim pertama Gegar Vaganza dimenangi oleh Ayai (Ilusi), Siti Nordiana pada musim kedua, Azharina (GV3), Aishah (GV4), Noryn Aziz (GV5), Naqiu & Hady Mirza (GV6) dan Cliff Umar (GV7).
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Foto: Azrul Rafie