Hiburan

Rani Mukerji ‘Beku’ Saat Penggambaran Bersama Shah Rukh Khan, Perlu Diusung Ke Kereta

Share

Pelakon terkenal Bollywood, Rani Mukerji baru-baru ini berkongsi satu fakta dan momen yang cukup melucukan pernah dihadapinya saat menjalani proses penggambaran.

Dalam satu temubual Galatta Plus Mega Pan India Roundtable 2023 bersama rakan-rakan selebriti yang lain, pelakon berusia 45 tahun itu berkongsi dia pernah diusung ke dalam kereta kerana tidak mampu bergerak.

Kejadian itu berlaku saat penggambaran video lagu Tumhi Dekho Naa untuk dimuatkan dalam filem Kabhi Alvida Naa Kehna lakonannya bersama Shah Rukh Khan pada 2005.

“Saya memakai sari merah dalam lagu itu, dan saya sebenarnya terkaku. Saya tidak boleh berjalan. Dan salah seorang sepupu saya yang juga penolong pengarah, Ayan Mukerji, dia terpaksa usung saya ke kereta, kerana saya telah beku,” ujarnya.

Hal itu terjadi kerana mereka perlu melakukan penggambaran ketika suhu di luar adalah -14 darjah selsius tetapi Rani hanya mengenakan helaian sari nipis agar selari dengan konsep filem yang diketengahkan.

Kongsi ibu kepada seorang cahaya mata ini lagi, jika penonton benar-benar mengamati babak ketika lagu tersebut dimainkan dalam filem itu, bibirnya seolah-olah tidak bergerak saat melakukan lip-sync

.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
Fiezreen