Tahun ini menyaksikan majlis gilang gemilang International Indian Film Academy Awards (IIFA) 2024 dianjurkan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.

Dalam edisi ke-24 anugerah itu, Rani Mukerji dan Shah Rukh Khan mencipta fenomena tersendiri apabila masing-masing sekali lagi menggondol anugerah pelakon terbaik bagi kategori wanita dan lelaki.

Rani memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik untuk kali keempat, manakala Shah Rukh Khan pula memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik buat kali kelima.

Rani yang cemerlang membawakan watak Debika Chatterjee menerusi filem Mrs. Chatterjee vs Norway mengalahkan pelakon lain seperti Alia Bhatt, Taapsee Pannu, Kiara Advani dan Deepika Padukone.

Sebelum ini Rani pernah memenangi anugerah yang sama selama tiga tahun berturut-turut pada 2005, 2006 dan 2007.

“Menerima anugerah ini di IIFA terasa lebih istimewa kerana ia mengesahkan fakta bahawa Mrs. Chatterjee vs Norway memberi impak secara global dalam hati orang ramai.

“Kejayaan filem ini mengesahkan kuasa penceritaan yang abadi dan bahasa universal kasih sayang ibu dan ketabahan seorang manusia,” kongsinya.

BACA JUGA: 17 Tahun Bergelar Penyanyi, Miley Cyrus Akhirnya Menang Anugerah Grammy

Bagi Shah Rukh Khan yang digelar Raja Bollywood, kemenangannya kali ini adalah menerusi watak Kapten Vikram Rathore dalam filem Jawan. Bapa kepada tiga cahaya mata ini mengalahkan pelakon hebat lain seperti Ranveer Singh, Ranbir Kapoor, Sunny Deol dan Vicky Kaushal.

Seperti Rani, Shah Rukh Khan pernah menang anugerah yang sama bagi edisi 2003, 2005, 2008 dan 2011.

Ketika memberi ucapan saat menerima anugerah, Shah Rukh Khan banyak berterima kasih kepada isterinya kerana bersama-sama mengharungi momen yang tidak menyenangkan saat penggambaran filem Jawan.

Dipercayai, momen tersebut bersangkut paut dengan kes dadah yang melibatkan anak sulungnya, Aryan Khan.

IIFA 2024 bukan sahaja meraikan kehebatan Shah Rukh Khan dan Rani Mukherjee, tetapi juga memberi penghormatan kepada ramai bakat lain yang menyumbang kepada pencapaian sinema sepanjang tahun ini.

Dari persembahan yang memukau hingga momen emosi di pentas, acara ini merupakan penghargaan gemilang terhadap seni penghasilan filem Bollywood.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI