Pelakon senior, Wan Maimunah tidak dapat menahan sebak apabila dirinya masih mempunyai penyokong daripada peminat yang tidak henti menyokong karier seni lakonannya.
Kongsi Wan Maimunah yang membahasakan dirinya sebagai ibu, dia berasa sangat terharu dengan sokongan yang sentiasa diberikan kepada dirinya.
“SubhanaAllah kalau ibu jangka, ibu tak rasa terharu macam ni. Akan tetapi memang sejak akhir-akhir kebelakangan ini ibu rasa Allah SWT dah beri pentunjuk kepada ibu.
“Ibu selalu berdoa pada Allah minta jangan ada timbul perasaan riak dalam diri ini. Apa pun Ibu tetap bersyukur pada Allah sebab dia lah sebaik-baik perancang dan Maha Mengetahui.
“Bila Ibu masuk tadi Ibu rasa sebak sangat bila lihat masih ramai yang menyokong ibu sehingga ke hari ini,” katanya jujur.
Pada masa sama, Wan Maimunah turut mengakui turut terkesan apabila melakonkan watak Mak Wan menerusi filem terkini lakonannya, Frontliners.
“Insya-Allah apa naskhah yang diamanahkan, ibu cuba berikan yang terbaik dan ada yang memberi kesan kepada penonton, alhamdulillah.
“Filem ini akan menjadi kenangan untuk anak cucu akan datang sebab kalau dahulu para hero kita berjuang menentang pihak komunis kita boleh nampak.
“Tapi sekarang frontliners berjuang dengan musuh yang tak nampak, dia lebih ‘jahat dan kejam’ berbanding komunis.
“Hanya Allah sahaja yang tahu betapa sedihnya ibu melihat pengorbanan frontliners pada negara. Terima kasih buat semua,” katanya kepada MH.
Terdahulu, Frontliners yang diinspirasikan daripada kisah sebenar mengenai barisan hadapan yang menangai wabak Covid -19 ini akan ditayangkan Oktober depan di saluran Astro First Eksklusif (480).
Selain Wan Maimunah, turut sama terlibat termasuk Azhan Rani, Beto Kushairi, Emma Maembong dan ramai lagi.