“Rasa Sedih Sampai Rasa Tak Nak Bercakap,” – Dayang Nurfaizah Teringat Ada Mengata Suaranya Macam Itik

Share

Menerusi segmen Suria Petang di radio Suria FM, penyanyi Dayang Nurfaizah ada berkongsi cerita mengenangkan dia pernah diejek ‘suara itik’ ketika menyanyi pada zaman kanak-kanaknya.

Akui sedih atas apa yang berlaku, penyanyi kelahiran Kuching ini turut menyifatkan dirinya sebagai seorang pendiam sebelum bergelar penyanyi.

“Sebenarnya pendiam sangat-sangat memang tak nak bercakap, pemalu sebab dulu masa Dayang kecil-kecil suara Dayang macam serak-serak macam tu…

“Jadi orang tua-tua dulu suka cakap kat Dayang ni macam suara itik bercakap. Bila kenang balik Dayang rasa sedih sangat sampai rasa tak nak bercakap jadi kita punya keyakinan dalam diri tu tak ada.

“Masa kecil-kecil dulu memang suka menyanyi tapi tak tahu yang Dayang ni pandai menyanyi ke tak dulu. Tapi saya memang suka menyanyi,” katanya dalam seloroh.

Dia yang sinonim menerusi lagu Di Pintu Syurga ini juga sempat mengimbau saat kali pertama menyertai pertandingan nyanyian, waktu usianya mencecah 12 tahun.

“Walaupun Dayang pemalu, tapi bila naik atas pentas tu Dayang rasa seronok. Pertama kali Dayang masuk pertandingan masa umur 12 tahun walaupun kena paksa pada mula-mulanya sebab Allahyahamah Mak Kiah, jiran Dayang yang masukan nama Dayang dalam pertandingan itu.

“Dayang ingat lagu pertama yang Dayang nyanyi masa tu, ialah lagu Bahtera Merdeka dan Lagu Untukmu nyanyian Hasnol,” kongsinya.

Dayang bercerita ketika diundang sebagai tetamu jemputan di Suria Petang bagi mempromosikan album terbarunya berjudul Belagu, petang Selasa.

Dalam perkembangan lain, Dayang juga bakal membuat persembahan di Konsert Digital Jelajah Suria yang dibawa khas oleh Suria FM 24 Mac hadapan.

Turut sama bakal memeriahkan penonton secara maya itu termasuk Datuk Awie, Floor 88, Haqiem Rusly dan ramai lagi!

Foto: Instagram Suria FM

Published by
Nazar Rafiqhi