“Rasa Tercabar Dengan Ernie Zakri Sebab…,” – ‘Dua Vokal’ Bersaing Di AJL34, Ini Respon Aina Abdul

Share

Setiap penyanyi profesional pasti pasang impian untuk bersaing secara sihat,  bertanding di pentas berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL).

Berjaya lolos ke peringkat akhir menerusi lagu hasilan sendiri, Sumpah, penyanyi Aina Abdul mengakui berdebar untuk bertanding di AJL34.

Apatah lagj, ia merupakan pengalaman pertama buat dirinya untuk bersaing di atas pentas berskala besar itu.

“Hampir setiap hari saya merasakan debarannya sebab tahu di mana kedudukan saya berbanding dengan 11 finalis yang lain dan mereka semua ini boleh disifatkan sebagai guru saya.

“Sehingga ke hari ini, saya masih lagi rasa berdebar dan sebenarnya takut. Jadi sebelum AJL34, saya banyak buat latihan misalnya menonton cara penyanyi senior seperti Dayang Nurfaizah dalam nyanyian,” kongsi Aina kepada MH.

Pada masa sama, bintang yang pernah bergelar protoge kepada Ella menerusi program Mentor ini juga tidak menafikan rasa tercabar dengan kehebatan penyanyi Ernie Zakri.

Kagumi perjalanan serta keupayaan penyanyi itu dalam membuat persembahan secara langsung, Aina akui Ernie juga antara rujukannya.

“Sudah semestinya saya rasa tercabar dengan Ernie Zakri sebab dia merupakan seorang artis yang hebat.

“Sebelum ini, saya memang lihat nyanyiannya sebagai rujukan dan dia sendiri banyak bagi kata-kata semangat dan tunjuk ajar, saya menghargainya,” luah Aina lagi.

Terdahulu, Aina ditemui MH di sidang media AJL34 yang berlangsung di De Wan 1958, The Linc, Kuala Lumpur, pada Khamis.

Sekadar informasi, Aina bakal mempertandingkan lagu berjudul Sumpah bersama 11 finalis yang lain di pentas akhir AJL34 yang dijangka bersiaran pada 9 Februari depan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Published by
Nazar Rafiqhi