Pelakon Syanie atau nama sebenarnya Syaniza Hisham, 45, mengakui dia kini reda dan tidak mahu memikirkan soal kahwin lagi setelah dua kali gagal dalam perkahwinan terdahulu.
Ini kerana baginya, penceraian terdahulu banyak mematangkan diri sekali gus membuatkan dirinya menjadi insan yang lebih menghargai apa yang ada di sekeliling.
Memetik Utusan Online, menerusi dua perkahwinan terdahulu, ia secara tidak langsung mengajar erti cinta sebenar.
“Pengalaman berkahwin dan bercerai banyak mematangkan saya untuk menjadi insan yang lebih baik dan menghargai apa yang ada di sekeliling saya. Apa yang paling terkesan, pengalaman ini mengajar saya apa itu erti cinta yang sebenar.
“Tipulah kalau saya cakap tidak kecewa dengan perceraian yang berlaku. Siapa yang mahu rumah tangga mereka hancur?
“Saya reda dengan kegagalan ini. Rasanya dua kali berkahwin sudah cukup dan saya tak mahu memikirkan hal nikah kahwin dan jodoh lagi. Sudah cukuplah apa yang saya lalui sebelum ini,” katanya.
Cuma meski dia percaya pada cinta, namun bintang ini menyatakan dia bukanlah tergolong di dalam kelompok yang bertuah dalam percintaan.
“Sejujurnya saya percaya pada cinta. Cinta itu memang indah, tetapi saya perlu terima hakikat yang cinta itu bukan milik saya.
“Mungkin orang lain bahagia dengan cinta seorang lelaki tetapi saya bukan tergolong dalam wanita yang bahagia itu.
“Biarlah saya tidak bercinta dengan lelaki lagi asalkan saya masih ada ibu yang perlu dijaga.
“Ibu segala-galanya sekarang,” kata Syanie yang juga anak kepada produser Ruhanie Abdul Rahman ini.
Foto: Instagram Syanie