Pelakon jelita, Ruhainies mempunyai cara sendiri untuk berhadapan dengan soalan-soalan sensitif daripada orang ramai terutamanya melibatkan soal jodoh ketika musim perayaan yang bakal menjelang.
Bagaimanapun, Ruhainies percaya masyarakat ketika sudah semakin matang dan tahu membezakan antara gurauan dan soalan sensitif.
“Saya ada cara sendiri untuk berhadapan dengan situasi begini tapi saya rasa orang-orang zaman sekarang pun dah bijak. Mereka sendiri tahu soalan-soalan sebegitu sangat sensitif. Mereka pun tak akan tanya.
“Kalau mereka tanya sekali pun, saya akan jawab, saya akan serahkan kepada Allah untuk tentukan jodoh saya. Kalau dah sampai waktunya, saya terima. Andai belum, saya reda,” katanya kepada MH.
Dalam pada itu, pelakon drama Wifi Sebelah Rumah itu mendedahkan dirinya masih belum terdesak untuk mendirikan rumah tangga sebaliknya dia kini mahu memberikan sepenuh tumpuan untuk membahagiakan keluarga.
“Saya bukan dalam fasa tergesa-gesa untuk mendirikan rumah tangga sebab ketika ini saya mahu berada di fasa bertenang dahulu.
“Ada banyak lagi perkara yang belum saya penuhi untuk kedua ibu bapa saya. Banyak lagi perkara yang saya nak kejarkan daripada memikirkan soal jodoh.
Saya rasa diri saya masih muda dan tak perlu terburu-buru,” ujarnya lagi.
Ruhainies berkata sedemikian ketika ditemui di majlis berbuka puasa Ruhainies bersama peminat yang berlangsung di sebuah gedung acara di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sementara itu, Ruhainies mendedahkan sekiranya dia bertemu jodoh selepas ini, dia mahu melalui fasa bercinta selepas berkahwin.
“Saya rasa seperti mahu bercinta selepas kahwin. Rasanya lagi sweet. Saya memang menunggu jodoh je sekarang ini. Kalau saya terbuka hati untuk seseorang, saya akan memandang usaha dia juga.
“Kalau usaha dia okay, saya bersedia ke fasa seterusnya. Nak bercinta itu rasanya seperti membuang masa sahaja. Kita bukan budak-budak lagi,” akhirinya.
Dalam perkembangan lain, Ruhainies bakal muncul menerusi drama terbaru yang berjudul Bingtang.
Drama yang akan ditayangkan di slot Lestary, TV3 itu akan menggandingkan Ruhainies bersama aktor kacak, Daniel Fong.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.