Respek! Datuk Syafinaz Sanggup Labur Duit Sendiri Bikin Lagu, Mahu Pastikan Dua Protoge Tak Hilang Dari ‘Radar’ Seni

Share

Guru vokal dan pensyarah muzik terkenal, Datuk Syafinaz Selamat, sanggup melabur duit sendiri bagi menghasilkan lagu raya buat dua protegenya pada program Mentor musim ke-7 iaitu Lazarul, 28, dan Ranisha, 19.

Inesiatif tersebut dilakukan bintang senior ini bagi memastikan keduanya tidak terus terkapar-kapar seterusnya ‘hilang’ dari radar seni tempatan.

Sebagai permulaan, Syafinaz, Lazarul dan Ranisha memilih untuk muncul menerusi lagu raya berjudul RahmatNya ciptaan Ku Sham dan lirik oleh Zaira yang dilancarkan, baru-baru ini.

Menariknya, RahmatNya menjadi lagu raya pertama Datuk Syafinaz yang dirakamkan sejak bergelar penyanyi kira-kira 30 tahun lalu.

“Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir merakamkan lagu raya selama bergelar penyanyi, tetapi keinginan mula timbul sejak dua tiga tahun lepas.

“Saya masih ingat, hati tergerak merakamkan lagu raya selepas terjaga daripada tidur seminggu sebelum Ramadan. Saya terus menghubungi Lazarul dan Ranisha untuk memberitahu berita baik ini.

“Sebagai mentor, saya bertanggungjawab terhadap mereka. Saya membawa mereka ke dunia nyanyian menerusi pentas program Mentor 7, tidakkah kejam jika saya hanya membiarkan mereka,” kongsinya yang tidak menafikan perjalanan seni keduanya agak perlahan sejurus selesai program.

“Lazarul dan Ranisha adalah penyanyi yang bagus, tetapi tiada platform untuk untuk terus mengembangkan bakat. Saya pikul tanggungjawab ini.

“Saya percaya belum ada mentor yang mengeluarkan duit untuk merakamkan lagu buat anak didiknya, tetapi saya pula berfikiran sebaliknya. Ini adalah sumbangan saya untuk generasi baharu,” katanya.

Pada masa sama, pensyarah vokal Jabatan Muzik Fakulti Seni Persembahan di UiTM Shah Alam dan Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu menambah, lagu RahmatNya adalah langkah awalnya juga untuk kembali aktif sebagai penyanyi semula.

“Lebih 10 tahun tidak merakamkan lagu baru. Sudah lama saya berjanji dengan peminat yang tidak putus-putus bertanya. Saya tidak pernah hilang dalam industri muzik, sentiasa ada, tetapi ramai yang melihat saya sebagai juri program dan guru vokal.

“Ada yang ingat saya tidak menyanyi lagi, sedangkan saya masih ligat menerima undangan persembahan korporat dan acara-acara tertentu.

“Jadi, saya pilih lagu raya sebagai langkah permulaan sebelum muncul dengan satu lagu terbaharu selepas Aidilfitri nanti,” jelas Syafinaz jujur.

Sementara itu, penyanyi asal Pontian, Johor itu memberitahu, dia memilih lagu ciptaan pasangan suami isteri, Ku Sham dan Zaira yang juga teman lamanya sebagai taruhan sempena Syawal.

“Ku Sham dan Zaira adalah junior saya ketika menuntut di UiTM. Ku Sham berkhidmat sebagai pemain gitar untuk Orkestra RTM. Mereka tahu apa yang saya ingini dalam muzik. Lagu RahmatNya bermaksud rahmat Allah.

“Saya percaya kita seringkali alpa apabila terlalu sibuk dengan tugasan dan duniawi. Kita lupa pada Allah SWT, pegangan agama dan keluarga. Menjelang bulan Ramadan, kita kembali sedar menunaikan tanggungjawab sebagai umat Islam. Rahmat pada bulan puasa inilah memberi keinsafan dan kesedaran buat kita.

“Dan akhirnya, kita menyambut Aidilfitri dengan kemenangan mengatasi kealpaan selama ini. Lagu bergenre latin yang diselitkan elemen R&B ini sangat menyentuh hati saya,” katanya panjang lebar.

Terdahulu, single RahmatNYa turut disambut baik dua bintang muda itu yang menyifatkan mentornya seorang yang bertanggungjawab dan tidak mempersia-siakan bakat mereka.

Foto: Instagram Datuk Syafinaz/YouTube

Published by
Rafiq Mazlan