Pengacara, Fedtri Yahya mendedahkan seorang pelajar berbangsa India telah berjaya memperoleh keputusan cemerlang 9A dan satu A+ bagi matapelajaran Tasawwur Islam dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurut pelajar berkenaan, program berkaitan agama yang disiarkan di saluran TV3 antara yang membantunya untuk mendalami mengenai ilmu berkaitan.
“Selamat pagi Abang Ahmad. Saya baru je terima keputusan SPM sebentar tadi. Dan syukur, saya telah mendapat 9A dan A+ untuk Tasawwur Islam.
“Semestinya rancangan-rancangan TV3 seperti tanyalah Ustaz, Halaqah dan khususnya Jejak Rasul telah membantu saya mempelajari lebih dalam tentang Islam,” tulisnya.
Kisah tersebut dikongsikan oleh pengacara program Jejak Rasul itu menerusi sebuah ciapannya yang dimuat naik di laman Twitter.
Dikesempatan itu juga, pelajar tersebut turut menitipkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan rancangan-rancangan tersebut termasuklah buat Fedtri sendiri.
“Saya sentiasa berhutang budi kepada semua rancangan yang bermaklumat dan para penyampai ilmu yang berpengetahuan luas.
“Terima kasih juga kepada Abang yang sentiasa berkongsi maklumat tentang Islam dan juga bahasa Melayu di Instagram dan Facebook. Semoga Abang sentiasa dirahmati, Amin,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Fedtri turut mendedah pelajar tersebut ketika ini juga sedang berusaha untuk menghabis amalan puasa enamnya.
Melihat di ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa kagum selain turut mendoakan semoga pelajar tersebut dibukakan hatinya untuk memeluk agama Islam.
“Alhamdulillah 😍 Tasawwur Islam pun dapat A+ tu! Segan pula bila tengok grade dia sebab dulu ambil ringan je subject Tasawwur Islam ni.
“Tumpang gembira even tak kenal, Tahniahhh. MashaAllah.
“Maa syaa Allah, untuk berjaya tidak perlu alasan. Sekuat mana arus menentang, semakin kuat genggaman mencengkam. Semoga diberikan Hidayah buat adik ni,” antara komen-komen yang ditinggalkan di laman Twitter.
Sumber: Twitter Fedtri Yahya