Pelakon Syatilla Melvin berkongsi berita gembira apabila memaklumkan mengenai berita kehamilannya di Instagram pada Khamis.
Meluahkan rasa syukur dengan rezeki hamil buat kali keenam, Syatilla turut memohon orang ramai mendoakan agar kandungannya kali ini bertahan sehingga 9 bulan.
Dia bagaimanapun sempat berseloroh memberitahu dia baru sahaja rancang untuk memasang alat perancang keluarga IUCD (satu kaedah dalam cegah kehamilan) atau sebaliknya.
“Kali ke 6, syukur alhamdulillah. Baru plan nak pakai iud tau tak! Rezeki Allah nak bagi. Hari-hari duk mintak Allah murah rezeki, murah sungguh2 Allah bagi.
“Doakan kandungan bertahan sampai cukup 9 bulan,” tulisnya pada ruangan kapsyen.
Suaminya, aktor Shaheizy Sam turut berkongsi rasa gembira yang sama menerusi satu entri di Instagram miliknya.
Serentak dengan pengumuman yang dilakukan mereka, rakan artis dan peminat saling tumpang gembira seterusnya menitipkan doa serta ucapan yang baik-baik buat pasangan selebriti ini.
Syatilla yang juga peserta Dewi Remaja sezaman Neelofa sebelum ini pernah beberapa kali mengalami keguguran, namun reda dengan ketentuan Illahi.
Untuk rekod, mereka berdua berkahwin pada 8 Februari 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syeriv Samheizy, 4, dan Sarima Samheizy yang kini mencecah usia setahun.