Berita

Rezeki Lagu Penyanyi Usia 6 Tahun Jadi Trending Nombor 1, Eddie Hamid Puji Tantari – “Suaranya Unik, Sesuai Bawa Lenggok Lagu 90-an.”

Share

Nama penyanyi cilik, Tantari menjadi sorotan apabila lagu Rindu Hatiku Rindu nyanyiannya menjadi trending dengan berjuta tontonan yang diraih menerusi YouTube sejak ia dimuat naik hampir sebulan lalu.

Baru berusia enam tahun, Tantari atau nama sebenarnya Naufal Azahel Mohd Alfian sebelum ini mula mendapat perhatian apabila video persembahan dia menyanyikan  lagu popular 90’an,  Cinta Melankolia telah dikongsi ke akaun TikTok LoyyGoji sehingga menarik lebih 300,000 tanda suka (likes).

Atas nama rezeki, Tantari juga dilamar oleh Molek fm dengan kerjasama Nova Music untuk merakam lagu sulung, Rindu Hatiku Rindu, ciptaan komposer Eddie Hamid manakala liriknya dihasilkan oleh Jaju dan Hakim Hakimi.

Dilancarkan pada 15 Februari lalu, lagu tersebut mengimbau kembali melodinya yang seakan lagu era 90-an dan turut jadi trending di YouTube TikTok. 

 

Menurut Eddie, pertama kali menonton video tular Tantari menyanyi, dia terus tertarik dan tahu lenggok lagu yang macam mana penyanyi cilik itu sesuai bawakan.  

“Saya lihat kelebihan Tantari terletak pada suaranya yang unik yang sesuai membawa lenggok lagu era 90-an. Kita juga perlu ketengahkan kanak-kanak yang berbakat sebagai pelapis penyanyi sedia ada.  

“Walaupun dia masih kanak-kanak tapi saya tak ada masalah sewaktu membuat kerja-kerja rakaman di Studio NAR. Di studio, kami hanya mengambil masa kira-kira tiga jam untuk siapkan rakaman,” kata Eddie.

Dia pada masa sama tak menyangka lagu Rindu Hatiku Rindu akan menjadi tular dan mendapat sambutan luar biasa.

Menurut bapanya, Mohd Alfian Othman, bakat nyanyian anaknya itu dikesan sejak dia berusia dua tahun lagi dan lagu pertama yang dia nyanyikan di hadapan keluarga ialah lagu 60-an iaitu Oh Fatimah.  

“Tantari mula berani menyanyi di hadapan orang ramai sewaktu berumur enam tahun apabila dia menyertai pertandingan nyanyian ‘Idola Kecil’ mula-mulanya di peringkat pra-sekolah, kemudian ke peringkat daerah dan seterusnya mewakili negeri Selangor. Untuk ketiga-tiga peringkat ini, dia mendapat tempat pertama. 

“Sebagai bapa, saya bersyukur sebab ramai yang suka dengan nyanyian Tantari. Kalau ikutkan, saya ni tak adalah suka menyanyi lagu rock kapak, ada lagu-lagu tertentu saja. Tantari suka menyanyi lagu berjiwa rock disebabkan saya ada bekalkan sound system di rumah orang kahwin,” katanya yang tidak fikir panjang apabila mendapat tawaran Eddie Hamid untuk merakan lagu buat anak sulungnya itu. 

“Saya terus terima sebab saya berani katakan yang anak saya mampu buat dan alhamdulillah diizin Allah dan sekarang inilah hasilnya. Dari sentuhan terbaik komposer terkenal Eddie Hamid, Alhamdulillah. 

“Sewaktu dalam studio, Tantari tak mengambil masa lama untuk rakaman kerana pihak Nova Music mahu terbitkan lagu itu dalam had waktu yang diberikan,” katanya.

Malah, Tantari juga tidak mengikuti kelas vokal sebelum menjalani proses rakaman kerana semua persediaan dilakukan di rumah sahaja. 

“Saya tak hantar dia ke kelas vokal sebab kami bukan dari keluarga senang nak hantar ke kelas vokal atau kelas muzik yang menelan belanja besar. Dia hanya kerap buat latihan di rumah dan disamping itu, kita menjaga waktu rehat, pemakanan dan kesihatannya.

“Antara pelajaran dan seni, sejujurnya kami seimbangkan keduanya sebab pelajaran penting termasuk  ilmu agama yang perlu dititikberatkan. Dari segi penglibatan dia dalam aktiviti seni, minat dan bakat perlu ada. 

“Pada saya, bakat yang ada pada dia adalah anugerah daripada Allah, jadi kita gunalah sebaiknya. Apa yang kita dapat semuanya adalah pemberian daripada Allah dan yang penting kita guna ke arah kebaikan,” tambahnya lagi.

Rindu Hatiku Rindu nyanyian Tantari kini boleh didengar di semua pelantar penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music dan video muzik rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.

Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH