Juara Ratu Hijabista yang pertama, Wan Nur Aqilah Shahirah Wan Lokman atau lebih dikenali sebagai Qila tidak pernah menyangka dirinya bakal dinobatkan sebagai pemenang program realiti tersebut.
Bagaimanapun, gadis ayu asal Kelantan ini meluahkan rasa syukur dan percaya kejayaan yang dikecapinya atas berkat doa dan sokongan daripada ibu bapa.
“Saya sebenarnya tak pernah menyangka yang saya akan menjadi juara, akan tetapi saya sangat bersyukur kepada Allah SWT dan saya percaya ini semua adalah rezeki yang sudah tertulis.
“Saya percaya kejayaan tidak akan dapat dikecapi tanpa restu dan berkat doa orang tua kepada, selain cuba untuk memberikan yang terbaik sepanjang pertandingan, alhamdulillah.
“Ini rezeki dan takdir yang sudah ditentukanNya, malah kalau bukan saya pun, rakan lain turut ada potensi untuk jadi juara. Masing-masing ada kelebihan,” katanya kepada MH.
Ditanya mengenai hala tuju dan perancangan masa hadapannya pula, gadis berusia 21 tahun mengakui punya minat untuk menceburi dalam dunia lakonan dan pengacaraan.
“Kalau diberikan peluang selepas sertai Ratu Hijabista, saya ingin mengembangkan bakat dalam dunia lakonan dan pengacaraan.
“Jadi dengan pengalaman sedikit yang saya ada ini, InsyaAllah saya cuba untuk fokus dalam bidang tersebut selepas ini,” kongsinya.
Gadis lepasan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Penyiaran) ini berjaya menewaskan empat lagi finalis iaitu Tina, Mellya dan Fiffy Afrina untuk bergelar juara sulung Ratu Hijabista.
Dengan kejayaan yang diraih, Qila membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta trofi dan selempang.
Program pencarian Ratu Hijabista ini bersiaran selama lapan episod bermula 12 Ogos lalu di saluran Astro Prima dan Prima HD.