Pelakon yang bakal terlibat menerusi teater Andak Bertandak, Riena Diana tidak mahu terburu-buru untuk menamatkan zaman solo bersama dengan kekasihnya yang juga pelakon, Keith Foo.
Menurut Riena atau nama sebenarnya, Nur Qamarina Diana Zulreal, 27, hubunganya bersama aktor berdarah campuran Cina dan India baru sahaja empat bulan menyulam cinta.
Sekaligus, masing-masing memerlukan masa untuk saling mengenali secara mendalam dan bukan satu hal mudah untuk membina bahtera rumah tangga.
“Saya belum ada sebarang perancangan ke arah itu sebab kami baru saja kenal. Sekarang kami berada di fasa mengenali hati budi terlebih dulu. Keith juga antara sebab saya terbuka hati untuk terbabit dalam pementasan teater buat kali pertama.
“Keith pernah jayakan teater Ombak Rindu di Istana Budaya, jadi dia beri semangat dan meyakinkan saya untuk terbabit dalam naskhah teater.
“Dia beritahu saya perlu buat untuk buktikan lakonan saya dan jika saya dapat berguru dengan orang hebat, mengapa tidak,” katanya ketika ditemui pada Sidang Media Teater Andak Bertandak di Mafioso, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menyentuh mengenai pembabitan pertamanya di pentas teater itu, Riena akui gementar.
“Pada awalnya saya agak takut kerana tidak mempunyai sebarang pengalaman, tapi ketika Mask Team memberi tawaran ini dan memaklumkan barisan pelakon yang hebat seperti Ellie Suriaty dan Azhan Rani, saya terus rasa nak cabar diri.
“Saya mahu gunakan peluang ini untuk menambah ilmu dengan mereka sebab bukan senang nak berlakon dengan nama hebat ini,” katanya.
Teater Andak Bertandak yang diarahkan oleh Azhar Zainal dan skrip oleh Fasyali Fadzly yang juga Dekan Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) bakal dipentaskan pada 29, 30, 31 Ogos ini dan 1 September depan di Pentas 2, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC).
Selain Riena, teater itu turut membariskan pelakon seperti Azhan Rani, Ellie Suriaty, Jay Iswazir, Dottie, Aizat Saha, Fadhli Masoot dan Razman Mahayuddin.
Sementara itu bagi Riena, dia tidak menafikan bercinta dengan individu seperjuangan memberi kelebihan untuk memahami tugas dan komitmen kerja masing-masing.
“Saya akui memiliki pasangan satu industri yang sama memberi kelebihan kerana individu itu faham tugas kerja sebagai pelakon yang tidak mengira masa.
“Selain itu, kami juga dapat rujuk apabila saya ada masalah skrip atau lakonan.
“Sekarang ini kami berdua sibuk dengan penggambaran drama. Tapi, kalau kami nak jumpa, saya akan datang ke lokasi penggambaran dia ataupun sebaliknya,” katanya lagi.
Pada Jun lalu, Riena mendedahkan hubungan cinta mereka terjalin sejak sama-sama menjayakan penggambaran drama bersiri Salju Rindu untuk TV3.
Keith pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Kim Raymond pada November 2015, namun bercerai empat tahun kemudian. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Skylar yang kini berusia tujuh tahun.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.