Berita

Rihanna Dibayar RM29 Juta Untuk Buat Persembahan Di Majlis Pra-Perkahwinan Anak Bongsu Orang Terkaya India

Share

Rihanna sudah lama tidak muncul di mana-mana pentas membuat persembahan penuh. Namun untuk keluarga terkaya di India, pelantun lagu popular Unfaithful ini keluar dari ‘sarangnya’.

Klip-klip rakaman persembahan yang dilakukan Rihanna yang tersebar luas di media sosial sehingga kini menerima jutaan tontonan dan menjadi bualan ramai.

Manakan tidak, dalam masa lapan tahun, ini merupakan kali pertama ibu kepada dua cahaya mata itu membuat persembahan skala konsert dengan menyanyikan 19 lagu popular miliknya.

Tahun lalu dia membuat persembahan di SuperBowl namun persembahan itu bukanlah dalam skala konsert.

Mengenakan gaun renda rona hijau saat melakukan persembahan, antara lagu yang dinyanyikan penyanyi asal Barbados ini seperti Diamonds, Rude Boy, Umbrella, Work dan We Found Love.

Menurut laporan Forbes

, Rihanna dianggarkan menerima bayaran sebanyak $6.3 juta bersamaan dengan RM29 juta.

Mengambil tempat di Jamnagar, persembahan khas itu dibuat di hadapan ratusan tetamu jemputan dari seluruh dunia yang turut sama meraikan perkahwinan yang bakal berlangsung di antara Anant Ambani dan Radikha Merchant.

Anant Ambani bersama bakal isterinya, Radhika Merchant

Anath merupakan anak bongsu kepada Mukesh Ambani yang memiliki kekayaan bernilai $117 Bilion dan diletakkan sebagai orang kesembilan paling kaya di dunia.

Walaupun majlis pra perkahwinannya berlangsung pada 1 ke 3 Mac 2024, namun majlis perkahwinan sebenar pasangan ini hanya akan diadakan pada bulan Julai nanti.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
Fiezreen