Ketika industri seni tempatan kini kembali rancak dengan penganjuran acara persembahan, penyanyi yang berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) Yuna, turut menyatakan hasratnya untuk mengadakan konsert di Kuala Lumpur.
Menurut Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara’ai, 35, dia sememangnya ada merancang untuk menganjurkan konsert dalam masa terdekat, namun segala bergantung kepada masa dan peluang.
“Saya memang ada perancangan untuk mengadakan konsert di Malaysia tapi segalanya masih lagi dalam perancangan. Kalau boleh saya nak buat persembahan di Plenary Hall, KLCC yang macam pernah saya buat dulu.
“Harapnya agar konsert tersebut dapat dijalankan tahun ini juga tapi kami masih mencari masa yang sesuai. Saya agak sibuk ketika ini dengan pembikinan album terbaru,” katanya kepada MH.
Penyanyi yang popular menerusi lagu Dan Sebenarnya ini berkata sedemikian ketika ditemui di majlis resepsi penyanyi, Aizat Amdan dan isterinya yang berlangsung di sebuah premis acara di Puchong, Selangor pada Ahad.
Katanya lagi, konsert di Malaysia ini juga amat penting lebih-lebih lagi untuk mempromosikan lagu-lagu barunya dan pada masa sama dapat pengubati kerinduan peminat.
“InsyaAllah saya akan adakan mini tour di Amerika Syarikat pada awal November. Jelajah tersebut hanya berskala kecil di lokasi-lokasi seperti di Seattle, Portland, San Francisco, Los Angeles, New York dan Boston.
“Saya rasa penting sangat untuk mengadakan konsert di Kuala Lumpur. Saya memang dah lama tunggu nak beraksi di sini. Rindu juga nak imbau lagu-lagu lama terutamanya lagu berbahasa Melayu.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan tersebut untuk memperkenalkan lagu-lagi baru. Sebab saya faham lagu-lagu baru ni tak mudah orang suka. Jadi kita akan rancang projek ini sebaiknya,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Yuna mendedahkan dia terbang dari Los Angeles untuk menghadiri majlis perkahwinan sahabatnya itu.
“Syukur Alhamdulillah. Kisah cinta Aizat ini ada jatuh bangunnya. Sebagai seorang kawan yang dah berkawan hampir 13 tahun, aya dah anggap Aizat seperti adik beradik. Saya pun kenal dengan keluarganya.
“Saya bangga dapat gelar Aizat sebagai seorang sahabat. Sekarang dia dah berumah tangga. Saya sangat gembira untuknya. Aizat akhirnya jumpa dengan orang yang sempurna untuk dirinya.
“Aizat dan Elyssa sememangnya sangat serasi. Mereka melengkapi antara satu sama lain. Masing-masing memiliki kelebihan mereka yang tersendiri.
“Saya juga seronok dapat jadi sebahagian daripada majlis yang sangat indah ini. Apa yang boleh saya katakan untuk Aizat dan Elyssa, bila dah berkahwin ini, berusahalah mengejar kebahagiaan bersama. Buat perkara yang masing-masing suka.
Pada masa sama, Yuna menggunakan masanya di Malaysia untuk merakamkan muzik video untuk album kelimanya.
“Alang-alang di sini, saya buat kerja lain. Saya buat penggambaran muzik video untuk Y4. Saya sekarang sedang membuat album terbaharu iaitu album kelima untuk pasaran AS.
“Kali ini, saya buat cara berbeza di mana saya keluarkan lima EP. Setiap EP ada tiga lagu. Saya namakan EP itu Y1, Y2, Y3, Y4 dan pada November depan, saya gabungkan semua dalam Y5.
“Saya mahu buat sedikit eksperimen untuk lihat cara peminat menerima muzik. Cara penerimaan sekarang sudah lain.
“Peminat sudah tidak mendengar album, jadi mungkin cara ini dapat memudahkan mereka,” katanya yang kini bergerak sendirian tanpa mana-mana label.
Keputusan Yuna tidak bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman juga membuatkan dia seronok merancang perjalanan karier sendirian.
Kredit Foto: Instagram Yuna