Pelakon dan pengacara, Uyaina Arsyad mengakui dirinya sedih kerana terpaksa membatalkan beberapa projek di Indonesia gara-gara penularan wabak COVID-19 yang melanda dunia ketika ini.

Menurut Uyaina, dia amat rindu dengan suasana kerja di sana terutamanya bila dapat bersama rakan-rakan artis dan para penonton.

“Sedih sebab sangat rindu terutama rakan-rakan hos, suasana para penonton dan program-program di sana.

“Tapi nak buat macam mana saya terpaksa rela dengan situasi ini. Kalau ikutkan, saya memang gemar juga berkerja di sana,” kongsinya.

Pada masa sama, Uyaina mengakui dirinya berasa amat bersyukur kerana diberi kepercayaan dan peluang untuk duduk sebaris dengan nama-nama besar di Indonesia.

IKLAN

“Saya tahu peluang seperti ini tak ramai yang yang dapat. Sebagai seorang hos yang mereka telah jemput selama beberapa bertahun kebelakangan ini, saya sangat bersyukur.

“Allhamdulillah ini bermakna hubungan saya dengan pihak di sana amat baik. Rasa terharu bila diberi kepercayaan seperti itu.

“Saya dipentaskan bersama orang-orang besar. Di dalam dunia mereka, they are the top of the list.

“Bila kita sebagai orang luar dan diterima baik oleh rakan artis dan para penonton, itu yang membuatkan saya rasa bersyukur,” katanya kepada MH.

Bagaimanapun, pengacara program pencarian Ratu Hijabista 2020 itu mendedahkan, dia mungkin tidak akan ke Indonesia buat sementara waktu kerana khuatir dengan jumlah kes COVID-19 yang dicatatkan di negara seberang itu.

“Sepatutnya sebelum dan semasa ramadan saya perlu ada di sana. Puteri Muslimah Asia musim ke-2 pun sepatutnya berlangsung April, tapi sebab PKP ia terpaksa ditangguhkan.

“Mengikut keadaan, saya mungkin tidak akan ke Indonesia setahun dua ini sehingga vaksin ditemui,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Uyaina kini bergandingan dengan seorang lagi rakan artis iaitu Fikry Ibrahim bagi mengacarakan program pencarian Ratu Hijabista 2020.

Ratu Hijabista mulai bersiaran bermula pada hari ini pada jam 9.00 malam eksklusif di Astro Prima (124) dan Prima HD (105).