Yayasan Metamorphosis bersama pasukannya tampil agresif menjalankan Misi Jiwa Prihatin bagi membantu mangsa banjir dalam usaha mencurah bakti menghulurkan bantuan dalam usaha meringankan beban ditanggung mangsa banjir terutamanya di sekitar Selangor dan Pahang, baru-baru ini.
Meski Presiden Yayasan Metamorphosis, Datuk Aliff Zain dan pasukannya agak terlewat menghantar bantuan disebabkan menjalani tempoh kuarantin berikutan menjadi kontak rapat pesakit COVID-19, namun keprihatinan tetap diteruskan demi kebaikan bersama
“Habis sahaja tempoh kuarantin, saya terus mempersiapkan pasukan untuk turun padang bagi menghulurkan bantuan. Dari segi dana, Yayasan Metamorphosis tidak kutip mana-mana sumbangan, ini hasil pendapatan perniagaan yang disalurkan kepada yayasan ini.
“Kami melawat bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin di Banting, Selangor, kemudiannya ke rumah penyanyi Ezad Lazim di Kota Warisan, Sepang.
“Seterusnya, kami menjengah bekas pemain bola sepak negara, Azman Adnan dan isterinya, As Feminin. Selain kunjungi kediaman penyanyi otai, Yantzen dan pemain bass kumpulan Damasutra, Amran di sekitar Hulu Langat.
“Sepatutnya, kami singgah ke rumah pelawak, Ebby Yus di Hulu Langat, tetapi saya dimaklumkan beliau dimasukkan ke hospital.
“Misi Jiwa Prihatin ini turut menghulurkan bantuan kepada individu lain yang menjadi mangsa banjir, bukan hanya golongan selebriti,” katanya.
Aliff yang juga usahawan dari Pulau Pinang berkata, secara kasar, Yayasan Metamorphosis memperuntukkan antara RM500,000 hingga RM1 juta bagi Misi Jiwa Prihatin di seluruh Malaysia.
“Bukan hanya menyediakan sumbangan berbentuk wang ringgit, malah, pelbagai barangan elektrik seperti mesin basuh, peti ais dan katil. Ini termasuk juga keperluan asas seperti pinggang mangkuk, dapur dan sebagainya.
“Misi Jiwa Prihatin bermula ketika banjir besar di seluruh Malaysia pada 2014 dan saya sendiri turun padang rasa agak sedih dengan nasib menimpa mangsa banjir. Saya lihat mereka perlu memulakan kehidupan baharu, ada yang sehelai sepinggang, tak kira kaya atau miskin.
“Jadi, dari situ, kami meneruskan Misi Jiwa Prihatin tahun demi tahun. Saya berharap lebih ramai rakyat Malaysia menghulurkan sumbangan membantu mangsa banjir bukan hanya kejadian tahun ini, tetapi juga pada masa akan datang,” katanya lagi.
Aliff berkata, dia juga mengalu-alukan sukarelawan yang menyertai Yayasan Metamorphosis, mereka boleh menghubungi kami menerusi Facebook Yayasan Metamorphosis.
“Dan, hari ini Yayasan Metamorphosis bekerjasama dengan rider penghantar makanan. Bukan sahaja bangsa Melayu, malah Cina dan India turut berganding bahu membantu mangsa banjir,” katanya.
Sementara itu, anggota kumpulan Feminin, As berbesar hati apabila Datuk Aliff Zain turun padang menghulurkan bantuan.
“Terima kasih, semoga Allah membalas jasanya membantu mengurangkan bebanan saya sekeluarga. Saya tak boleh agak anggaran kerugian. Tetapi, apa yang boleh saya cakap kena bermula dari kosong semula. Bukan hanya semua barang elektrik rosak, malah, lantai pun pecah.
“Ia seperti membina rumah baharu. Satu rumah pula kena buat wiring semula. Memang saya amat terkesan, tetapi, saya nak ucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sangat prihatin dan tidak berkira.
“Bila berlaku bencana ini, barulah saya nampak rakyat Malaysia sangat bersatu dan bermurah hati, tak kira apa bangsa dan agama. Saya memang respek pada masyarakat majmuk kita,” katanya.
Ezad Lazim pula mengakui, ia merupakan situasi pertamanya berdepan musibah sedemikian.
“Ini pengalaman kali pertama berdepan musibah banjir sejak pindah ke rumah sendiri di Kota Warisan, Sepang. Banyak barang koleksi peribadi musnah dan rosak. Saya memang suka simpan barang-barang yang ada nilai sentimental.
“Saya simpan koleksi CD dan VCD original dari penyanyi yang saya minat. Saya kumpul dari zaman muda. Ini termasuklah koleksi gambar saya dengan bekas kumpulan dan alatan muzik seperti gitar. Ada antaranya saya simpan dan tidak pernah guna.
“Namun, agak sedih alatan muzik artifak arwah bapa tidak boleh diselamatkan, tetapi tidak mengapalah. Apa yang penting, nyawa.
“Alhamdulillah, isteri dan anak-anak berada dengan saya ketika banjir, jadi, tiada apa yang perlu dirisaukan sangat,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.