Penyanyi popular era 80-an, Rohana Jalil, 68, kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhkriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras tanpa diketahui penyakit sejak Rabu.
Berita itu disahkan oleh rakan baiknya, penyanyi Datin Salwa Abdul Rahman memetik laporan Berita Harian.
Menurut Salwa, dia yang masih terkejut dengan berita itu berkata doktor masih melakukan pemeriksaan dan pemantauan mengenai penyakit dihidapi Rohana memandangkan penyanyi itu tidak pernah mengalami penyakit serius sebelum ini.
“Semalam, saya mendapat khabar keadaan Rohana kritikal dalam ICU dengan penyakit yang belum diketahui.
“Saya memang terkejut kerana mengenalinya, Rohana seorang yang aktif dan jarang sakit,” katanya.
Salwa berkata, dia diberitahu Rohana dikejarkan ke hospital, kelmarin, namun, anak-anaknya masih merahsiakan daripada pengetahuan sesiapa.
“Bagaimanapun, bila keadaan Rohana semakin kritikal, anak-anaknya mula berkongsi perkembangan kesihatan Rohana dan minta mendoakan kesembuhan.
“Pelawat tidak dibenarkan melawat Rohana, buat masa ini. Ini kerana Rohana masih dalam ICU dan bernafas menggunakan bantuan oksigen.
“Saya dengar Rohana sudah ada tindak balas sedikit, namun keadaannya masih lemah dan dalam pemantauan, semalam,” katanya lagi.
Rohana atau nama sebenarnya, Dara Abdul Jalil memulakan karier sebagai penyanyi sejak usia 17 tahun pada 1979.
Ibu kepada pelakon Kilafairy itu dinobatkan sebagai juara Bintang RTM 1980.
Selain Rayuanku, Rohana juga popular menerusi lagu duet bersama To’ki berjudul Naluri Cinta.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.