Penyanyi Datuk Seri Rossa memuji semangat yang ditunjukkan rakyat Malaysia dalam menjalankan gerakan memboikot mana-mana individu atau jenama yang menunjukkan sokongan terhadap kekejaman yang dilakukan tentera Zionist.
Menurut Rossa, gerakan boikot di Indonesia tidak sekuat di Malaysia namun, dia tetap percaya semua pihak mempunya cara tersendiri untuk menunjukkan sokongan.
“Gerakan boikot di Indonesia tidak sekuat di Malaysia. Ketika berada di Malaysia, saya sangat merasakan semangat itu.
“Di Indonesia pula, ada sebahagian yang memboikot dan ada juga dengan pandangan masing-masing.
“Namun, semangat solidariti rakyat Indonesia terhadap saudara di Palestin tidak pernah berkurang. Mereka juga kerap mengadakan demo pada hari minggu,” katanya kepada MH.
Rossa berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Konsert Divas & Diamonds 2024 yang diadakan di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada Isnin.
Pada masa sama, penyanyi lagu Ayat-Ayat Cinta ini juga kagum dengan
stesen tv di Malaysia yang turut terlibat untuk mengadakan kempen solidariti buat Palestin.
“Semangat solidariti di Malaysia juga sangat kuat. Mungkin disebabkan populasi Indonesia yang sangat besar, gerakan boikot itu agak tidak menonjol.
“Malah, di sini juga, stesen tv seperti Astro turut menunjukkan sokongan dan memberikan sumbangan buat saudara mara kita di Palestin.
“Jadi, saya rasa semangat itu sangat luar biasa,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Rossa turut mendedahkan dirinya kini sudah tidak lagi menerima sebarang bentuk kerjasama dengan jenama yang mempunyai kaitan dengan Israel.
“Buat masa sekarang, saya tidak lagi menerima tawaran untuk bekerjasama dengan jenama-jenama pro-Israel.
“Sebenarnya saya memang jarang mahu menerima tawaran daripada jenama yang terlalu mahu menjual.
“Saya lebih selesa bekerjasama dengan jenama yang santai dimana saya hanya perlu menghadiri acara dan bukannya terlalu ‘hardsell’,” akhirinya.
Terdahulu, Rossa bakal berkongsi pentas dengan tiga orang penyanyi tersohor tempatan menerusi konsert ‘Divas & Diamond 2024’ yang bakal berlangsung di Arena Larkin, Johor Bahru pada 7 September depan.
Tiga artis tersebut ialah Datuk Jamal Abdillah, Dayang Nurfaizah dan seorang lagi penyanyi yang akan diumumkan tidak lama lagi sebagai kejutan.
Tiket konsert ini bakal dijual bermula pada harga RM288 sehingga RM888.
Lima peratus daripada hasil penjualan tiket akan disumbangkan kepada mangsa negara bergolak Palestin yang akan disalurkan terus kepada pihak kedutaan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.