Penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa,45, akui menangis apabila mendengar perkongsian yang dilakukan anak lelakinya, Rizky Langit Ramadan, 18, menerusi filem dokumentari All Access to Rossa 25 Shining Years.
Menurut Rossa, bukan satu hal mudah anak tunggalnya itu memberikan pesetujuan untuk sama-sama terlibat di dalam pembikinan filem dokumentari itu kerana sebelum ini, dia lebih selesa untuk berada di belakang tabir.
“Dia pemalu dan tidak banyak bercakap. Malah sejak dahulu lagi dia juga tidak ke depan memandangkan saya tidak terlalu dedahkan Rizky kepada rakan media yang mahu menemubualnya.
“Ramai yang sedia maklum dan menghormati permintaan saya itu dan Rizky juga senang dengan cara sedemikian.
“Cuma kali ini, saya ada beritahunya untuk menghasilkan sebuah filem dokumentari ini dan bertanya adakah dia terbuka sekiranya produksi ingin bertanya beberapa soalan.
“Dia jawab okay tetapi mahu menjawabnya dengan jujur tanpa skrip,” katanya ketika ditemui pada Malam Gala Tayangan All Access to Rossa 25 Shining Years di Plaza Indonesia, pada Isnin.
Rizky ialah anak hasil perkongsian hidupnya bersama ahli kumpulan Padi, Yoyo atau nama sebenarnya, Surendro Prasetyo, 48.
Mereka mendirikan rumah tangga pada pada 18 Mac 2004, namun bercerai lima tahun kemudian.
Penyanyi lagu Pudar itu juga turut menambah, dia hanya tahu mengenai perkongsian Rizky ketika melakukan sesi suntingan pertama bersama pihak produksi.
“Saya juga tiada bersamanya ketika itu kerana masing-masing menjalani penggambaran sendiri. Jadi saya tidak tahu apa yang diberitahu oleh setiap individu terdekat, termasuk bekas suami.
“Jadi saya terkejut ketika tahu mengenai perkara itu waktu fasa suntingan awal. Saya menangis kerana selalunya kami akan hanya berkongsi rasa sebagai ibu dan anak dari luar lensa sahaja.
“Jadi apabila Rizky meluahkan secara formal di set, perasaannya itu rasanya sangat berbeza. Menerusi filem inilah, saya baru tahu apa pandangannya mengenai diri saya. Rasa syukur dan terharu.
“Terima kasih kepada keseluruhan krew produksi yang berjaya mempersembahkan filem ini secara jelas mengenai perjalanan seni saya selama ini.
“Mudah-mudahan All Access to Rossa 25 Shining Years tidak akan membosankan penonton dan semoga kalian dapat menikmati setiap momen yang disajikan di dalam naskhah ini,” katanya lagi.
All Access to Rossa 25 Shining Years arahan Ani Ema Susanti diterbitkan oleh Inspire Pictures bersama Sinemaku Pictures dan Time International Films menjengah pawagam seluruh Indonesia bermula esok.
Di balik pencapaiannya sebagai antara diva pop Indonesia, film ini bakal memperlihatkan sisi peribadi di dalam kehidupannya yang jarang diketahui peminat sepanjang bergelar anak seni dan juga ibu kepada seorang cahaya mata.
Rossa memulakan kerjaya di dalam bidang muzik apabila melancarkan album debut yang berjudul Tegar pada tahun 1999 dan sehingga kini sinonim menerusi barisan lagu cinta yang hits.
Filem ini juga dijangka bakal menemui penonton di Malaysia sekitar September depan.
@mediahiburanofficial Datuk Seri Rossa memberikan reaksinya mengenai penglibatan anak lelaki, Rizky Langit Ramadan yang turut terlibat di dalam filem dokumentarinya, All Access to Rossa 25 Shining Years yang bakal ditayangkan di pawagam Indonesia bermula esok. Naskhah ini juga dijangka bakal ditayangkan di pawagam Malaysia sekitar September depan. Min dah tonton, memang eksklusif sebab ada kisah yang tak pernah Rossa ceritakan di mana-mana #MHnews #MediaHiburan #FYP ♬ suara asli – Lay.Music
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan