Bintang Singapura, Roziana Cindy mencipta sejarah apabila menjadi penyanyi pertama dari negara itu yang berkolaborasi dengan komposer terkenal Indonesia, Ade Govinda menerusi single sulungnya, Paling Sejati.
Lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh Ade itu menjadi bukti dedikasi Roziana dalam menghasilkan karya muzik mendalam, merangkumi emosi tulus dan pengalaman hidup.
Ia juga sekaligus menggambarkan gabungan harmoni antara seni Singapura dan Indonesia.
Apa yang menarik, Roziana yang juga personaliti TV di Singapura, turut menjadi Penerbit Eksekutif untuk lagu dan muzik video lagu tersebut juga dilancarkan di Malaysia sebagai usaha menembusi pasaran muzik tempatan.
Paling Sejati menggabungkan elemen balada moden dengan sentuhan nyanyian tenang, tradisional, memberikan pengalaman
audio yang unik kepada pendengar. Lagu ini juga menonjolkan keupayaan Roziana untuk membawa emosi dalam setiap bait lirik.“Dalam melodi yang penuh perasaan ini, setiap liriknya seolah-olah menggambarkan jalinan emosi yang kuat dan ikatan yang tidak tergoyahkan antara dua hati.
“Lagu ini mampu membawa pendengar menyelami lautan kasih sayang yang dalam, di mana setiap baitnya mencerminkan pengalaman cinta yang murni dan abadi.
“Selain itu, keindahan liriknya juga mengekspresikan betapa pentingnya menghargai setiap detik dalam sebuah perhubungan, merayakan momen-momen kecil yang membentuk ikatan itu menjadi sesuatu yang luar biasa.
“Bersyukur dengan cinta dan kasih sayang yang cukup, tak membuat sesiapa terluka,” katanya yang turut menjelaskan, naskhah berkenaan dirakamkan di Jakarta, Indonesia, termasuk video muzik (MV) yang menjalani penggambaran di beberapa lokasi menarik di Yogyakarta.
“MV ini bukan sahaja menonjolkan elemen visual yang menggambarkan keindahan landskap
dan tradisi tempatan, tetapi juga menguatkan naratif emosi yang dibawa oleh lagu ini dengan cara yang sangat berkesan.“Dengan itu, MV ini tidak hanya berfungsi sebagai medium hiburan tetapi juga sebagai platform untuk memperkukuh hubungan antara pelbagai budaya di rantau ini,” katanya.
Roziana pada masa sama berharap lagu itu dapat menyentuh hati pendengar di Malaysia, terutamanya dalam kalangan komuniti Melayu.
“Kejujuran dan keikhlasan dalam lirik serta melodi lagu ini diharap dapat memberi inspirasi dan menjadi simbol cinta sejati yang boleh dirasai bersama.
“Lagu ini adalah satu karya seni yang merentasi sempadan, memaparkan perpaduan antara budaya Singapura, Malaysia, dan Indonesia, mengukuhkan persaudaraan dan semangat bersama dalam menghargai muzik yang menyentuh jiwa.
“Justeru, saya berharap lagu ini dapat menyentuh hati semua pendengar dan menjadi inspirasi untuk menghargai kasih sayang dalam hidup.
“Sejujurnya, lagu Paling Sejati adalah luahan jiwa saya mengenai kepercayaan kepada cinta sejati,” katanya.
Lagu Paling Sejati mula dilancarkan di semua platform muzik digital sejak semalam dan diikuti dengan pelancaran video muzik pada 25 November.
Peminat juga boleh menonton video eksklusif dan kandungan di sebalik tabir di saluran media sosial Roziana Cindy.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini