Pertama kali menyelami kehidupan sebagai penoreh getah, Ruhainies menyifatkan pengalamannya menjayakan watak sebagai Ellani menerusi drama Cukup Derita Itu (CDI) sebagai sesuatu yang berharga.
Menurut Ruhainies, watak berat yang dilakonkan menerusi drama yang kini bersiaran di slot Samarinda TV3 itu memberi ruang buatnya untuk mencuba perkara baru.
“Pertama saya jayakan watak penoreh getah. Nyatanya, untuk melakukan babak tersebut bagi saya ia agak sukar dan mencabar. Yelah, pertama kali kerja di ladang getah dengan memerlukan persediaan bagi realiti sebenar.
“Malah demi menghidupkan watak, pengarah Along Kamaluddin ambil inisiatif dengan upah pekerja sebenar untuk ajar cara toreh getah dengan betul.
“Nak pegang pisau khas tu tak sama dengan pisau biasa kan. Pokok getah sensitif, tak boleh main toreh kena berhati-hati.
“Mungkin ramai tak tahu, masa buat babak di ladang tersebut, saya ikat ubat nyamuk dekat badan seharian sepanjang penggambaran. Seksa jugalah sebab saya memang alah pada asap,” katanya kepada MH.
Ruhanies pada masa sama menambah, percubaannya menerusi watak Illani secara tak langsung turut buka mata ramai terhadap prestasi lakonannya.
“Bukanlah nak kata saya sudah tahu semua, cuma menerusi drama ini, secara tak langsung dapat selami kehidupan golongan lain juga selain belajar perkara baru.
“Saya sedar, sebelum ini ada cakap-cakap yang kata saya mesti tak berani untuk jayakan watak sebagai gadis yang kerja dan hidup di desa. Selesa dengan watak orang bandar saja. Jadi inilah masanya untuk saya buktikan kemampuan.
“Alhamdulillah, maklum balas yang diterima penonton pun sangat positif. Bila mereka gembira, buatkan saya lebih semangat untuk berikan yang terbaik.
”Tuah saya juga dapat bersama dalam naskhah drama yang bagus macam ni,” katanya lagi.
Ditanya mengenai insiden lengannya yang digigit monyet ketika penggambaran, Ruhainies menjelaskan ia berlaku secara spontan.
“Pada awalnya monyet jinak tu okay saja, tiba-tiba mungkin kerana terkejut, monyet berkenaan menjadi agresif lalu gigit lengan saya yang berlapik baju.
“Setakat ini tiada apa-apa yang serius. Saya sudah dapatkan rawatan dan ahlamdulillah, semuanya okay,” katanya lagi.