Penyanyi Tom kongsikan sebab mengapa sebelum ini dia tidak pernah bercerita mengenai dirinya yang sudah lama mengenali rakan artis, Fuad Rahman.
Menurut Tom, 36, dia akui tiada siapa yang bertanya dan sebelum ini, hanya rakan terdekat saja yang tahu.
Tom dan Fuad sebelum ini masing-masing pernah bersaing di Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9).
“Tak pernah ada orang tanya. Yang tahu hanya kawan-kawan rapat sahaja, di Johor dan Singapura. Malah ketika GV pun kami tiada berhubung mana. Cuma sejurus program itu sahaja.
“Saya sayang dia dan tak mahu Fuad rosak atau terjerumus balik sebagaimana hidupnya yang lalu. Sekarang dia sudah pun pulih dan kena ada orang yang terus berikan dia semangat.
“Keluarganya ada beritahu untuk bertemu memandangkan kami memandangkan masing-masing lama tak jumpa,” katanya kepada MH.
Berkongsi mengenai perancangan untuk ke fasa seterusnya, penyanyi yang popular menerusi lagu Lagu Untuk Kuala Lumpur menjelaskan, hal itu masih terlalu awal untuk dibicarakan.
Tom bagaimanapun akui dua anak lelakinya, Putera Edler dan Putera Evans Ezra selesa apabila Fuad berada di sisi mereka.
“Keluarga ada cakap mengenai perkara itu, cumanya ia masih terlalu awal. Kami masih saling mengenali. Baru nak kenal balik dia dalam keadaan yang sekarang.
“Memang kami rapat dan saya rasa ada tanggungjawab untuk jaganya. Malah Fuad ada beritahu dia mahu tebus balik apa kesilapan yang pernah dia lakukan kepada saya sebelum ini.
“Saya pun tak suka dengan apa yang pernah dilaluinya dulu, ‘masuk keluar’. Saya tak mahu ia berlaku lagi. Dia seorang yang baik tak ada masalah lain kecuali ‘itu’ sahaja.
“Anak-anak sayang dia. Mereka panggilnya ‘Uncle Bapak’. Meski mereka bukan darah dagingnya, tapi Fuad menghargai sebagaimana dia menghargai saya.
“Itu yang paling penting. Kami masih dalam fasa mengenali. Doakan yang baik-baik,” katanya lagi.
Terdahulu, Fuad mengemaskini status Facebooknya dengan meletakkan foto bersama-sama dengan Tom dan menukarkan profile dengan status ‘in relationship’ sekali gus mencetuskan reaksi pelbagai wargamaya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.