Berita

Rupanya Gaun ‘Queen Of Gold’ Dipakai Aina Abdul Ini Beratnya 40Kg, Bernilai RM120,000 & Ambil Masa 2 Minggu Untuk Siap!

Share

Selain barisan lagu yang dipersembahan penyanyi Aina Abdul yang cukup mempesonakan pada Konsert A Night With Aina Abdul 3.0 pada Sabtu lalu, persalinan yang digayakan figura popular itu turut menjadi sorotan ramai.

Bukan hanya hampir 10,000 penonton yang hadir menonton, malah warga net turut memperkatakan perihal lima persalinan Aina yang difahamkan bernilai hampir RM400,000 keseluruhan.

Busana keempat yang dipakai Aina misalnya yang berkonsepkan Queen of Gold dikatakan menelan belanja sehingga RM120,000.

Menurut perekanya iaitu Ezuwan Ismail busana yang memakan masa selama dua minggu untuk disiapkan itu dibuat daripada bahan yang diperolehi dari luar negara.

“Fabrik emas ini memang tidak dijual di sini (Malaysia). Nak tak nak, kena beli dekat luar negara termasuklah batu-batuan yang memenuhi perincian persalinan tersebut.

“Antara batu perhiasan yang digunakan ialah mutiara, berlian serta dihiasi manik dan labuci.

“Selepas ia siap, berat keseluruhan kostum tersebut dianggarkan mencecah sehingga 40 kilogram termasuk ‘cape’,” katanya.

Menurut Ezuwan lagi, gaun berkenaan turut dijahit tangan dan seluruh permukaan fabrik dipenuhi batu-batu hiasan.

“Baju ini adalah jahitan tangan sepenuhnya seperti mana diminta oleh Aina sendiri. Ini bagi memastikan kualiti jahitan terjamin,” tambahnya.

Dalam pada itu, Ezuwan yang turut hadir menyaksikan persembahan Aina Sabtu lalu turut meluahkan kepuasannya saat melihat penyanyi popular itu muncul di pentas bersama busana yang direkanya.

“Satu kepuasan apabila pakaian yang dihasilkan selama dua minggu itu dilihat gah dipakai Aina.

“Saya anggap ini satu penghormatan dapat bekerjasama dengan Aina dalam konsert meganya,” katanya lagi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH