Pihak Chatime Malaysia tampil menjawab berhubung isu melibatkan pasangan selebriti terkenal Neelofa dan suami, Haris Ismail (PU Riz).

Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, pihaknya memberikan kenyataan berikutan isu Neelofa dan Haris yang didakwa sedang berbulan madu sebuah pulau peranginan sehingga dikatakan telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana merentas negeri.

Chatime Malaysia menerusi satu hantaran di laman sosial Instagram mereka malam tadi, menjelaskan keadaan sebenar.

Menurut kenyataan yang dimuat naik, Neelofa dalam rangka lawatan kerja menerusi pembukaan cawangan baru Chatime di Zon Utara iaitu Langkawi dan Sungai Petani, Kedah serta Kangar, Perlis.

IKLAN

“Kenyataan rasmi berkenaan lawatan kerja melibatkan Neelofa untuk tujuan pembukaan cawangan-cawangan baru Chatime di Zon Utara (Langkawi & Sungai Petani (Kedah), Kangar (Perlis). Terima kasih,” kata kenyataan tersebut.

Kenyataan tersebut turut menyatakan lawatan berkenaan turut melibatkan beberapa kakitangan dari Bahagian Operasi dan Pengurusan Chatime Malaysia.

Malah, kebenaran untuk merentas negeri juga telah diperolehi dari balai polis berdekatan, dengan mengikut SOP yang telah ditetapkan.

IKLAN

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni menerusi laporan media mengesahkan Neelofa ke pulau peranginan atas tujuan kerja.

Menurutnya, wakil syarikat produk minuman terbabit membuat permohonan rentas negeri di Balai Polis Sri Hartamas.

“Hasil semakan mendapati borang Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membenarkan pergerakan keluar empat individu itu bermula 27 Mac hingga 4 April untuk urusan kerja.

IKLAN

“Syarikat terbabit mengemukakan surat tertera nama Neelofa dan tiga yang lain sebagai mewakili mereka untuk melawat lokasi perniagaan yang akan dibuka di sana,” katanya, sebagaimana yang dipetik daripada Harian Metro.

Bagaimanapun, sekiranya terbukti Neelofa ke Langkawi untuk tujuan berbulan madu, pihak polis boleh mengambil tindakan kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), katanya.

Terdahulu beberapa gambar memaparkan Neelofa dan suaminya, Haris Ismail yang didakwa sampai di Langkawi tular di media sosial dengan dakwaan mereka berbulan madu, selepas tiga hari diijab kabulkan sebagai pasangan suami isteri.

Sumber: Instagram Chatime Malaysia, Harian Metro