Meskipun berjaya lolos ke konsert akhir, juri tetap Big Stage 2023, Ajai dan Aina Abdul sepakat menyatakan mereka agak kecewa dengan persembahan penyanyi Putera Muhammad pada konsert minggu separuh akhir yang berlangsung pada Ahad.
Jelas Ajai, dia sendiri tidak menyangka yang seorang lagi peserta, Firdaus Rahmat bakal menampilkan persembahan yang memukau sehingga membolehkan dirinya memperoleh markah yang tinggi.
Namun, nasib tidak menyebelahi Firdaus apabila tersingkir di selekoh terakhir.
“Sebenarnya saya tak jangka yang Putera akan menyanyi sebegitu (kurang memuaskan). Berbalik kepada Firdaus, kami banyak tekankan kepada kekuatan individu. Kalau kita bandingkan dengan peserta lain, memang beribu tiang mereka tertinggal.
“Pada saya, itu tidak adil. Jadi, saya sendiri tak terfikir yang Putera dan Firdaus bakal menampilkan persembahan yang berbeza pada malam ini,” katanya kepada MH.
Sementara itu, penyanyi Aina Abdul pula memaklumkan konsistensi yang ditunjukkan oleh Putera pada konsert-konsert sebelum ini telah menyelamatkan dirinya daripada tersingkir.
“Saya agak ralat dengan persembahan Putera pada malam ini. Tolak tepi soal favouritism, Putera akan selalu berada di tangga tiga teratas dalam kedudukan pemarkahan para juri.
“Namun, sebagai juri, kita menilai seseorang peserta itu berdasarkan persembahan mereka pada minggu itu. Bagaimanapun, rezeki tak salah alamat.
“Mungkin juga kita boleh ambil kira yang Putera selalu menampilkan persembahan yang terbaik pada minggu-minggu sebelumnya. Mungkin ini rezeki dan peminat pun menyayangi dia. Bila kita gabungkan markah, ia berpihak kepada Putera.
“Untuk Firdaus pula, mungkin dia lambat panas. Saat-saat akhir baru nak tunjuk taring. Mungkin itu dah terlambat buat dia,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ajai turut berharap agar para peserta yang berjaya melangkah ke konsert akhir dapat menampilkan persembahan di luar zon selesa bagi membuktikan mereka mempunyai kualiti sebagai seorang juara.
“Saya mahukan kelainan daripada apa yang mereka pernah bawa sebelum ini. Itu sahaja cara yang boleh membuatkan kami tahu yang anda sememangnya seorang juara.
“Kita tak mahu persembahan yang stereotype dan boleh dijangka. Sebagai contoh, saya tak pernah terfikir yang Aufahanie dan Puteri mampu menunjukkan persembahan yang baik seperti malam tadi,” ujarnya lagi.
Sementara itu, selain Fidaus, peserta duo, Dem Lepak Boyz juga terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat Big Stage 2023.
Enam peserta yang berjaya melangkah ke konsert akhir ialah Nadeera Zaini, Waode, Hoondoo, Aufahanie, Puteri Khareeza dan Putera Muhammad.
Kesemua mereka bakal membuat dua persembahan dengan tema Ultimatum dan battle mash up.
Dihoskan oleh Elly Mazlein dan Rina Nose, Big Stage 5 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam selama 10 minggu setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104).
Big Stage 5 juga turut menampilkan Aina Abdul dan Ajai sebagai juri tetap, manakala juri jemputuan minggu ini ialah Datuk AC Mizal.
Sepanjang penganjuran, Big Stage telah menobatkan empat juara iaitu Sarah Suhairi (2018), bintang Korea Selatan, Hanbyul (2019), Azzam Sham (2020) dan terbaharu, Elica Paujin (2022).
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.