Personaliti televisyen dan hos, Nazrudin Habibur Rahman atau lebih dikenali sebagai Naz Rahman meluahkan pendapatnya berhubung isu penghinaan terhadap maruah dan kehormatan kaum wanita yang kini menjadi perbualan hangat wargmaya di media sosial.
Kongsi Naz menerusi entri di akaun Twitter, dia menyifatkan isu berkenaan harus dipandang serius kerana ia mampu mencemarkan imej serta maruah wanita.
“Sabar. Bukan babak dalam filem yang dipertikaikan, tapi soalan rancangan bual bicara dan jawapan yang hina.
“Bila viral, lagilah pemikiran macam ni mendapat validasi kalau tak respon. Kalau kita inginkan perlindungan untuk wanita dalam hidup kita, perbualan macam ni cannot be normalized,” tulisnya.
Dalam pada itu, hos rancangan Malaysia Hari Ini menyarankan pihak Persatuan Seniman Malaysia menyediakan ruang kepada para pelakon wanita untuk menyuarakan pendapat dan hak wanita.
“Memberi ruang untuk meminta maaf, tapi @SenimanMalaysia terlepas peluang menyediakan platform untuk pelakon wanita bersuara.
“Perkasakan mereka yang rasa diancam bila bekerja, kalau ingin banteras rape culture. Semoga tidak lupa untuk perjuangkan suara SEMUA ahlinya,” tulisnya lagi.
Sehingga kini, perkongsian tersebut telah meraih lebih 1,800 tanda suka di kalangan warganet dengan komen yang pelbagai.
Foto: Instagram Naz Rahman