Pelakon yang juga juga salah seorang ahli kumpulan One Nation Emcees (ONE), Sabhi Saddi menerusi Harian Metro mendedahkan satu-satunya anggota wanita dalam kumpulan itu, Mimi atau lebih dikenali sebagai Mimi Fly tidak lagi bersama mereka.
Jelas Sabhi keputusan tersebut dibuat Mimi kira-kira dua minggu selepas tamat Gegar Vaganza musim keenam (GV6).
“Mimi sudah tak bersama kami. Daripada apa yang saya tahu, dia ingin meneruskan karier solonya dan pihak pengurusannya juga sudah ada perancangan untuknya,” jelasnya seperti yang dipetik.
Menghormati keputusan yang dibuat Mimi, dia bersama anggota ONE lainnya turut mendoakan agar kerjaya seni Mimi akan baik selepas ini.
“Kami tak halang mahu pun menyingkirkannya. Kami hormat dengan keputusan Mimi dan kami sentiasa mendoakan agar kerjaya seninya berlangsung dengan baik selepas ini,” katanya lagi.
Pada masa sama, Sabhi turut akui mungkin agak sukar untuk kembali mencari rentak dalam seni apabila mereka terpaksa bergerak tanpa Mimi memandangkan peminat sudah pun sinonim dengan gandingan terdahulu.
“Mungkin sedikit sukar untuk kami bertiga bergerak tanpa Mimi kerana peminat dan penyokong kami semuanya sudah biasa dengan kewujudan empat anggota dalam ONE.
“Lagipun, saya tak mahu usaha kami selama ini untuk membuat kemunculan semula dan menempatkan nama kami dalam industri muzik seperti sia-sia.
“Tak semua orang dapat peluang untuk beraksi di pentas GV dan rasanya ia adalah satu platform terbaik,” terang Sabhi.
Bagaimanapun, Sabhi memaklumkan ONE bakal menampilkan beberapa penyanyi wanita sebagai penampilan khas setiap kali muncul membuat persembahan.
“Insya-Allah, pada 16 Februari ini kami akan membuat persembahan di Singapura dan kami akan tampilkan penyanyi wanita sebagai penampilan khas. Siapa penyanyi itu, biarlah rahsia.
“Itu akan menjadi persembahan pertama kami tanpa Mimi dan kalau boleh, setiap kali membuat persembahan kami akan tampilkan penyanyi wanita. Ini kerana kami nak kekalkan identiti ONE yang ada seorang anggota wanita,” katanya lagi.
Sementara itu, Mimi ketika dihubungi enggan mengulas mengenai perkara ini.
“Saya tak mahu komen apa-apa buat masa sekarang. Yang pasti, saya tidak lagi bersama dengan ONE. Saya akan maklumkan sekiranya ada sebarang maklumat terkini selepas ini,” maklum Mimi ringkas.
Sumber: Harian Metro