Pelakon dan usahawan, Boy Iman mengakui dia kini sudah bergelar duda. Malah menerusi Instagram baru-baru ini, pelakon Blok 404 itu sudah pun berpisah sama isterinya, Kumala Dewi Anas, pada 20 April lalu dan mereka sebenarnya sudah jatuh tiga talak.
Menurut pelakon berusia 39 tahun ini, dia dan isteri pernah bercerai dua kali sebelum ini iaitu pada 2015 dan 2017, namun mereka mengambil keputusan untuk kembali rujuk sebelum habis edah.
Bagaimanapun memetik mStar Online, kedua-dua perceraian terdahulu tidak difailkan di mahkamah syariah dan perceraian kali ketiga ini masih lagi dalam proses di mahkamah.
“Sebenarnya ini adalah penceraian kali ketiga saya dengan Ida (Kumala Dewi), kali pertama berlaku pada 2015 namun kami kembali rujuk atas dasar sayang.
“Penceraian kedua pula berlaku pada 2017 namun kembali rujuk atas alasan yang sama, malah kami tidak memfailkan penceraian kerana sudah rujuk melalui hubungan kelamin,” katanya seperti yang dipetik.
Tidak mahu bermusuh, Boy turut mengakui hubungannya dengan bekas isteri masih lagi baik dan mereka turut meraikan Syawal dan Aidil Adha bersama.
“Kami sekeluarga masih rapat dan meraikan hari raya bersama-sama, malah kami turut melancong bersama baru-baru ini. Kami langsung tidak membenci antara satu sama lain, cuma jodoh itu sudah tertulis berakhir di sini.
“Pasangan mana yang mahukan penceraian? Kami cuba untuk menghadapi perkara ini dengan tenang demi anak-anak. Cuma mungkin sikap kami yang terlalu ikutkan perasaan menjadi punca perpisahan ini,” terang Boy.
Pada masa sama, dia juga tidak menafikan perpisahan adalah mungkin disebabkan masalah kewangan dan perniagaannya yang kini merudum. Namun, ia bukanlah punca utama.
“Saya tak nafikan keruntuhan rumah tangga ini adalah berpunca daripada masalah dalam perniagaan namun ia bukan punca utama,” jelas Boy yang mendirikan rumah tanggab bersama Kumala pada 11 November 2011.
Hasil perkongsian hidup, keduanya dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Norul Emmer, 6 tahun sementara bekas isteri pula sebelum ini pernah berkahwin dan memiliki seorang cahaya mata perempuan Ku Ivy Emmera.
Foto/Sumber: Instagram Boy Iman/Mstar Online