Genap menjalin hubungan cinta bersama seorang lelaki dari Pantai Timur, bintang versatil Elly Mazlein mengakui dirinya kini sedang diulit bahagia, apatah lagi turut merancang untuk mendirikan rumah tangga bersama lelaki yang dipanggil ‘Papa Awan Nano’ itu tahun depan.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi seperti yang dipetik Harian Metro juga mendedahkan, dia merancang untuk memperkenalkan si pengarang jantungnya ityu menerusi satu sidang media yang mungkin diadakan serentak dengan majlis pertunangannya bersama bakal suami.

“Setakat ini, beberapa persediaan sudah dilakukan dan tarikh untuk majlis perkahwinan pun sudah ada. Tapi, saya akan kongsikan dalam satu majlis sidang media khas apabila semuanya sudah muktamad.

“Berkemungkinan besar, majlis sidang media ini juga akan diadakan serentak dengan majlis pertunangan saya,” katanya seperti yang dipetik.

Malah ujar penyanyi Bakawali ini, dia juga tidak akan melakukan majlis secara tertutup, sebaliknya mahu menjemput rakan media yang banyak membantunya dalam industri.

“Saya nak rakan media ada sama di hari bahagia ini dan ia umpama hadiah buat mereka yang sentiasa membantu sepanjang karier seni berlangsung,” jelas Elly jujur.

Pada masa sama, Elly turut merakamkan rasa syukur atas rezeki seni yang kini hadir. Percaya atas rahmatNya, bintang ini juga tidak menafikan sebelum ini hanya mendengar kisah rezeki orang yang bakal berkahwin saja.

“Selama ini, hanya mendengar cerita mengenai rezeki orang yang bakal berkahwin dan sekarang, saya sendiri dah mula rasa.

“Tawaran kerja pun tak henti-henti. Baik tawaran lakonan, nyanyian dan pengacaraan, semuanya datang serentak dan saya bersyukur kepada Allah atas rezeki yang dikurniakan,” maklum Elly.

Elly sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama pengarah, Azmi Hatta dan dikurniakan cahaya mata, Putri Sara Sefhia Azmi sebelum bergelar ibu tunggal.

Foto: Instagram Elly Mazlein

Apa Kata Anda