Pelakon terkenal Bollywood, Saif Ali Khan dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas mengalami kecederaan parah akibat tikaman dalam satu insiden pergelutan dengan seorang penceroboh di kediamannya yang terletak di Mumbai.
Menurut pihak polis, suami kepada pelakon wanita terkenal Bollywood, Kareena Kapoor Khan itu dilaporkan berada di luar bahaya dan sudah menjalani pembedahan.
“Beliau kini sedang dirawat dan berada dalam keadaan stabil,” kata pegawai polis, Gedam Dixit.
Dalam kenyataan terkini yang dikeluarkan oleh pihak yang mewakili Saif Ali Khan pula, bintang terkenal itu kini berada dalam proses pemulihan.
“Saif Ali Khan telah keluar dari pembedahan dan sudah tidak berada dalam keadaan bahaya. Dia kini dalam pemulihan dan doktor memantau perkembangannya,” seperti yang tertulis dalam kenyataan itu.
Bintang berusia 54 tahun yang telah membintangi lebih 70 filem dan siri televisyen ini menetap di sebuah apartmen di Bandra, Mumbai bersama isteri serta dua anak mereka.
BACA JUGA: Rani Mukerji ‘Beku’ Saat Penggambaran Bersama Shah Rukh Khan, Perlu Diusung Ke Kereta
Wakil tersebut turut memaklumkan bahawa Kareena dan anak-anak berada dalam keadaan selamat, manakala Saif akan terus mendapatkan rawatan lanjut.
“Keluarga berada dalam keadaan baik, dan Saif kini menjalani prosedur susulan kejadian cubaan rompakan tersebut,” ujar wakil tersebut.
Dalam kejadian sama, seorang pekerja wanita di kediaman pasangan ini turut diserang dan sedang menerima rawatan. Polis kini menjalankan siasatan terperinci dan usaha menjejaki suspek sedang giat dilakukan.
Saif, yang merupakan anak kepada bekas kapten kriket India, Mansur Ali Khan Pataudi dan legenda layar perak Sharmila Tagore, merupakan salah seorang bintang Bollywood paling disegani.
Sebelum berkahwin dengan Kareena pada 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu, Taimur dan Jeh, Saif terlebih dahulu mendirikan rumah tangga dengan Amrita Singh pada 1991 sebelum bercerai pada 2004.
Hasil hubungan tersebut dia memiliki dua orang cahaya mata yang kini cukup popular sebagai pelakon iaitu Sara Ali Khan dan Ibrahim Ali Khan. Masing-masing berusia 29 dan 24 tahun.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI