Syarikat milik usahawan kosmetik sensasi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat didenda RM14,500 atas tuduhan memiliki dan menjual produk kosmetik tidak berdaftar dan tidak bernotifikasi.

Memetik laporan Harian Metro, Majistret Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Sajat Aesthetic Sdn Bhd yang diwakili pengarah syarikatnya, Nur Sajat dan Ashaari Maznan, 46 selepas mereka menukar pengakuan bersalah atas 17 pertuduhan dihadapi.

Sehubungan dengan itu, Hanie Dzatul Akhmar menjatuhkan hukuman denda RM1,000 bagi 12 pertuduhan manakala RM500 bagi lima pertuduhan lain terhadap syarikat itu yang juga Orang Kena Saman (OKS) dalam kes berkenaan.

Mengikut semua kertas pertuduhan, OKS didakwa memiliki keluaran yang bukan keluaran berdaftar iaitu ‘Esansue White 5 ml’; ‘Aqua Skin Collagen’; ‘Bio Swiss Bio-Celeren Stem Cell’ dan ‘placenta lucchine’.

Sementara itu, OKS juga didakwa memiliki produk tidak bernotifikasi iaitu ‘Soothing Ampaule’; ‘Upgrade Whitening Ampaule dan ‘Pure Collagen Ampaule’.

IKLAN

OKS dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di premis syarikat itu di Jalan Serai Wangi K16/K Seksyen 16, Shah Alam di sini pada 11.40 pagi, 15 Ogos 2018.

Bagi semua pertuduhan itu, OKS didakwa mengikut Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Peraturan 18A(1) peraturan sama, Peraturan 7(1) peraturan sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000.

Terdahulu, dua pengarah berkenaan diwakili peguam bela Hasshahari Johari Mawi dalam rayuannya memohon hukuman ringan memandangkan perniagaan anak guamnya terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Nor Afizah Latip.

Sementara itu, menerusi satu posting terkininya di Instagram, usahawan yang pernah muncul menerusi single Makhluk Penggoda itu menyifatkan apa yang berlaku sebagai pengajaran sebagai ahli perniagaan.

“Alhamdulillah…semua dah selesai. Terima kasih buat hakim lagi bijak sana,Terima kasih buat lawyer saya.

“Apa yang terjadi saya menjadi pengajaran sebagai seorang perniagaan, buang yang keruh, ambil yang jernih. Amin,” tulisnya.

Sumber: Harian Metro