“Sakit Juga Untuk Terima Semuanya…,”- Dikritik Rakan Artis, Sophia AlBarakbah Akui Emosi Terjejas Sebab Kontroversi

Share

Aktres jelita, Sophia AlBarakbah mahu melupakan isu-isu panas melibatkan dirinya serta pasangan selebriti Aliff Aziz dan Bella Astillah memandangkan mereka sudah pun menamatkan penggambaran bagi drama, Ku Akad Kau Dengan Bismillah.

Menurut Sophia, dia berharap agar isu ini tidak dibangkitkan lagi dan semua pihak harus meneruskan kehidupan.

Katanya lagi, dia juga tidak bimbang soal perjalanan kerjayanya kerana percaya dengan aturan Allah SWT“Cerita ini sudah lama. Rasanya semua orang patut move on. Pihak saya dan pihak di sana pun dah move on. Tak perlu lagilah kita buka cerita lama. Apa yang terjadi, telah pun terjadi. Biar yang terlibat sahaja tahu.

“Dari segi kerjaya, rezeki itu Allah yang tentukan. Walau apapun yang terjadi, kalau rezeki itu memang untuk saya, ia tetap untuk saya,” katanya kepada MH.

Dalam pada itu, Sophia turut akui kontroversi yang melanda dirinya itu sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap mentalnya.

“Kita tak boleh nak tutup mulut orang. Mereka berkata-kata tanpa mengetahui perkara sebenar. Mereka hanya berkata daripada apa yang mereka baca.

“Mulanya memang agak sakit juga untuk terima semuanya kerana pada waktu itu, saya masih lagi shooting. Memang emosi saya terganggu.

“Namun, saya ada sokongan yang baik daripada keluarga dan rakan-rakan. Sakit yang saya rasa itu, saya gunakan untuk menghayati watak ketika berlakon,” ujarnya lagi.

Pelakon berusia 29 tahun itu berkata sedemikian ketika ditemui di acara Tonton Anugerah Drama Sangat 2022 (TADS2022) pada Ahad.

Ditanya mengenai tindakkan rakan-rakan artis yang mengecamnya kerana kontroversinya tersebut, Sophia menyifatkan semua pihak berhak memberikan pendapat.

“Bila timbul isu seperti ini, memang akan terciptalah pihak yang menyokong saya atau pihak di sebelah sana. Semua orang berhak untuk memberikan pendapat masing-masing.

“Jadi, saya tak boleh marah atau berkecil hati dengan komen-komen mereka. Mungkin yang komen itu pun mereka tak tahu kisah sebenar. Saya respek pilihan mereka. Tak perlulah sampai membenci,” kongsinya lagi.

Malah, Sophia turut menegaskan kontroversi itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus bergelar anak seni.

“Sebagai anak seni, kita tak boleh lari daripada hal-hal seperti ini. Sama ada kita buat atau tidak, tetap akan ada isunya. Saya memang dah bersedia untuk berhadapan dengan semua ini pada masa hadapan.

“Saya jadikan lakonan ini sebagai kerjaya yang saya sayang. Saya tak kejarkan publisiti. Perkara ini datang sekali dengan kerja kita sebagai figura awam. Saya tak boleh lari,” akhirinya.

Terdahulu, drama lakonan Sophia yang berjudul, Suamiku Lelaki Pendosa telah dinobatkan selaku Drama Terbaik TADS2022.

Drama ini juga turut memenangi beberapa kategori lain iaitu Pelakon Antagonis Terbaik (Gambit Saifullah), Pelakon Lelaki Terbaik (Aaron Aziz) dan Pengarah Terbaik (Eyra Rahman).

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf