Penyanyi dan penulis lagu, Sal Priadi memohon netizen di Malaysia dan Indonesia untuk berhenti berbalah terutamanya bila melibat soal kebudayaan di negara masing-masing.
Sejak akhir-akhir ini, netizen daripada kedua-dua negara dilihat tidak henti-henti ‘berperang’ mengenai asal usul batik di negara-negara nusantara ini.
Menurut Sal, isu seperti ini dapat dihentikan apabila semua pihak menghormati budaya dan karya-karya daripada negara lain.
“Soal kebudayaan ini, masing-masing punyai kekuatan sendiri. Jika ingin bercakap tengang asal usul, kita kena lihat semula kepada sejarah.
“Namun, kita juga hendaklah menghargai budaya antara satu sama lain. Kita ambil contoh batik, andai kata ada negara lain juga yang mempunyai budaya batik, apa salahnya kita sokong sahaja,” katanya kepada MH.
Penyanyi asal Malang, Indonesia itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media konsert ‘Sal Priadi Zuzuzaza Live In Kuala Lumpur’ yang berlangsung di ibu kota pada Selasa.
Katanya lagi, setiap karya-karya ini harus dihargai demi kebaikkan generasi akan datang.
“Yang menjadi permasalahan sesama netizen ini adalah mereka sedaya upaya nak menuntut bahawa sesuatu budaya itu milik mereka.
“Jika kita melihat dari segi pengkaryaan, itulah yang sepatutnya kita hargai,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, penyanyi yang terkenal menerusi lagu Dari Planet Lain akui teruja apabila berpeluang mengakan konsert solo di Kuala Lumpur selepas sukses mengadakan showcace album pertama tahun lalu.
“Saya teruja bola berkesempatan untuk bertemu dengan teman dan peminat Malaysia lagi. Ini konsert berskala besar dan persediaannya juga lebih panjang.
“Saya akan bawakan konsep yang berbeza dan mudah-mudahan akan memberikan pengalaman menyenangkan buat peminat yang hadir.
“Ramai peminat Malaysia yang hadir ke konsert jelajah saya bukan sahaja di Jakarta tetapi juga kota-kota lain seperti Jogjakarta dan Bali.
“Sebab itu juga saya ingin membawakan konsert ini ke Malaysia juga. Ini negara pertama yang saya kunjungi untuk konsert jelajah,” kongsinya lagi.
Pada masa sama, Sal mendedahkan dirinya tidak pernah menyangka namanya akan terkenal seperti sekarang.
“Saya tidak menjangkakan langsung. Kerana lagu-lagu yang saya hasilkan mempunyai lirik dan diksi yang agak puitis. Jadi, saya tidak pernah membayangkan nama saya akan terkenal.
“Namun, saya akhirnya dapat membayangkan bila memikirkan mengenai kerja keras dan kerjasama berpasukan selama ini. Bila sudah bekerja keras, sudah tentu ada hasil yang kita dapatkan,” akhirinya.
Terdahulu, konsert jelajah Sal Priadi yang dianjurkan Kharisma Music ini bakal berlangsung di Zepp KL, Kuala Lumpur pada 13 Oktober ini.
Sementara itu, para peminat dinasihatkan untuk segera mendapatkan tiket kerana tempat adalah terhad.
Tiket mula dijual pada harga RM258 (VIP Standing), RM158 (Standing), RM258 (VIP Seated), RM188 (Normal Seated) dan RM4,000 (VVIP Box).
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.