Salah Seorang Juri ‘Arranger’ Lagu ‘Terus Hidup’, Aina Abdul Sangkal Dakwaan Isu ‘Conflict Of Interest’

Share

Senarai 12 lagu yang layak ke Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) sudah pun diumumkan sebaik selesai hari kedua Separuh Akhir Muzik-Muzik 37 (SAMM37) yang berlangsung pada Sabtu.

Salah satu lagu yang ‘sangkut’ ialah Terus Hidup ciptaan sepenuhnya oleh penyanyinya sendiri, Aina Abdul.

Dalam keterujaan Aina meraikan perkara itu, timbul pula perkara kurang enak apabila ada netizen mendakwa timbul isu ‘conflict of interest’ apabila salah seeorang barisan juri profesional yang mengadili lagu-lagu pada SAMM37 iaitu Jenny Chin merupakan ‘arranger’ (susunan muzik) kepada karya Terus Hidup.

Menjawab persoalan itu, Aina berkata isu itu tidak timbul memandangkan pihak TV3 mengetahui mengenai hal tersebut dan menyifatkan Jenny seorang yang sangat profesional dalam melakukan tugasannya.

“Saya tidak rasa benda itu jadi isu sebab saya percaya TV3 tidak akan sebarangan panggil Kak Jenny, malah mereka pun tahu siapa Kak Jenny (peranan dalam lagu Terus Hidup).

“Saya memang dah agak orang akan cakap macam itu sebab bila Kak Jenny cakap dia akan jadi juri, saya gembira untuk dia sebab dia dah lama dalam industri dan baharu kini dia dapat terlibat dalam penjurian AJL.

“Dia hanya melakukan tugasnya sahaja dan saya tidak rasa benda itu ‘conflict of interest’,” kata Aina kepada MH.

Lagu Terus Hidup layak bersama 11 finalis lain antaranya, Anugerah Terindah nyanyian Alif Satar & The Locos, Satu Malam Di Temasek (Joe Flizzow & Sonaone), Nang (Iman Troye), Mainan (Naim Daniel), Payung Pelangi (Noki & MK K-Clique), Sengsara (Khai Bahar) dan Irama (Shiha Zikir).

Turut bersaing, Ernie Zakri (Korban), Marsha (Kembali Terang), Dayang Nurfaezah & Amir Masdi (Debu) dan Liza Hanim & Shila Amzah (Bahagiakan Dia).

Kesemua 30 lagu yang bertanding di SAMM37 diadili barisan juri profesional iaitu Damien, LY, Azlan Abu Hassan, Jenny Chin, Cikgu Shafi dan Datuk Mokhzani Ismail selaku ketua juri.

AJL37 bakal berlangsung pada 12 Februari depan di Axiata Arena, Kuala Lumpur.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Foto:  Instagram Aina Abdul

Published by
Juliana Johar