Penyanyi Saleem telah dikejarkan ke Pusat Pakar Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras akibat demam sejak seminggu yang lalu.
Menurut isteri kepada penyanyi lagu Suci Dalam Debu ini, Juriah @ Julia Bachok berkata, Saleem telah dibawa ke hospital tersebut selepas mengalami demam panas dan berada dalam keadaan yang lemah.
“Abang Saleem kerap mengalami demam panas sejak kebelakangan ini. Buat masa ini punca sebenar penyakitnya belum dikenal pasti.
“Dia juga mengalami bengkak di bahagian testis dan sepatutnya menjalani pembedahan esok. Namun ia bergantung pada tahap kesihatannya,” katanya.
Kata Julia lagi, ketika menyambut Aidilfitri yang lalu kesihatan Saleem masih dalam keadaan baik.
Walau bagaimanapun, selepas menjayakan persembahan di Bukit Aman, Kuala Lumpur pada hari raya ketiga yang lalu, dia mula mengalami demam panas.
Saleem mengadu bahawa dia terlalu penat dan Julia segera membawanya ke Pusat Pakar UKM untuk membuat pemeriksaan.
“Demamnya masih kuat manakala jantungnya juga lemah. Doktor memberi bantuan oksigen bagi membantu pernafasannya. Sekiranya keadaan tidak berubah pembedahan akan ditangguhkan,” katanya lagi.
Dengan keadaan kesihatan Saleem yang kurang sihat ketika ini dia terpaksa menimbangkan untuk menolak beberapa tawaran persembahan yang diterimanya.
Kami di MH Online mendoakan agar kesihatan Saleem kembali pulih seperti sediakala.
Sumber: Harian Metro
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI